JASIN: Sejak dibuka pada September lepas, Sekolah Harapan memberi penempatan kepada 49 remaja hamil, kata Pengarahnya Datuk Ab Rahaman Ab Karim.
Beliau berkata, buat masa ini terdapat 35 remaja di rumah tersebut dengan sebahagiannya telah melahirkan anak, sementara yang lain sedang menunggu masa untuk bersalin.
"Sejak sekolah ini dibuka, seramai 28 bayi telah dilahirkan dan kesemua bayi tersebut diambil oleh keluarga kepada ibu bayi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas perasmian sekolah itu oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman.
Rosmah yang dalam lawatan sehari ke Melaka, tiba di sini, pukul 11 pagi dan meluangkan masa kira-kira sejam untuk mendengar taklimat serta melawat pelajar di sekolah itu, yang idea penubuhannya dicetuskan oleh Mohd Ali.
Ab Rahaman berkata, remaja terbabit yang berusia antara 14 dan 18 tahun, datang dari Johor (14 orang), Melaka (lapan), Pahang (lapan), Negeri Sembilan (lima), Kelantan (lima), Terengganu (tiga), Kuala Lumpur (dua), dan masing-masing seorang dari Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, remaja terbabit ditempatkan di sekolah itu sehingga habis tempoh berpantang sebelum kembali kepada keluarga masing-masing. -Bernama
No comments:
Post a Comment