GEORGETOWN: Muzik tradisional gamelan, bukan saja mampu menarik minat orang ramai berikutan keunikan bunyi dan iramanya, tetapi mampu menjadi salah satu elemen penting digunakan sebagai terapi pemulihan kepada golongan istimewa daripada Persatuan Kanak-Kanak Spastik Pulau Pinang.
Ia berdasarkan kejayaan Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), yang diterajui Profesor Emeritus Datuk Mohamed Ghouse Nasuruddin, menjalankan terapi seni melalui muzik dan pergerakan kepada penghuni pusat pemulihan itu.
Projek perintis dilaksanakan pada 2009 dengan penyertaan sembilan kanak-kanak istimewa ternyata membuahkan hasil apabila kini jumlahnya terus meningkat kepada 40 orang.
Hasil ketara yang dapat dilihat apabila beberapa kanak-kanak pada asalnya mengalami kecacatan anggota, kini mampu berubah dan lebih berdikari sehingga ada antaranya tidak lagi menjalani pembelajaran di sekolah persatuan itu sebaliknya ditempatkan di sekolah rendah dan menengah seperti pelajar normal lain.
Menurut Mohamed Ghouse, pelajar terbabit kini menjalani latihan terapi muzik di pusat pengajian itu dua kali seminggu pada setiap Isnin dan Jumaat selama satu hingga satu setengah jam .
“Terapi muzik ini dapat membantu kanak-kanak istimewa membangunkan koordinasi pergerakan selain daya ingatan tinggi dan menanam sikap yakin pada diri sendiri,” katanya.
Menurutnya, walaupun mengakui kecacatan dialami kanak-kanak terbabit tidak mampu dipulihkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya ia berjaya mencapai status 60 peratus apabila mereka mampu menjalani kehidupan dengan lebih selesa berbanding sebelum ini.
“Kami menyediakan terapi pemulihan menerusi muzik ini secara percuma bagi memastikan mereka lebih tenang ketika menjalani proses pembelajaran di USM,” katanya.
No comments:
Post a Comment