Friday, February 18, 2011

Laksa sate Simpang Empat Kangkung

Hidup akan menjadi lebih bahagia apabila suasana keliling juga dalam keadaan tenang, nyaman dan menyedapkan mata memandang sehinggakan kita kadang kala menjadi alpa pada hakikat hidup yang bermula dari kampung setelah berada di tempat baru.

Demikianlah perasaan yang saya rasakan semasa menyusuri jalan lama dari Alor Setar ke Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah dalam perjalanan ke rumah Kak Roziah Mat, pembaca setia majalah WANITA.

Sebaik kereta bergerak meninggalkan pejabat Utusan, saya meminta Ismail Kamadin jurugambar di Utusan Alor Setar mengikut jalan lama tidak melalui lebuh raya seperti kebiasaannya.

Lama saya tidak melalui jalan lama Alor Setar - Butterworth dan melihat tali air Wan Mat Saman serta pekan-pekan kecil sepanjang laluan tersebut.

Saya kagum dengan perubahan yang berlaku sepanjang jalan itu terutama melihat tali air yang semakin dijaga rapi, juga bangunan kedai yang lebih teratur dan tersusun. Jalan-jalannya juga sudah elok bertar memudahkan pergerakan kenderaan yang bertali arus setiap waktu.

Lima belas minit bergerak Ismail bertanya sama ada saya hendak singgah di pekan nat (pasar lambak siang hari) di Simpang Empat Kangkung. Saya terus bersetuju sebab sudah lama tidak pergi ke pekan nat. Di mata saya terbayang macam-macam yang dijual termasuk kuih-muih tradisional yang lazat.

"Kita makan laksa sate," kata Ismail tersenyum mencadang.

Saya berpaling kepadanya sambil mengangguk. Laksa sate? Penah dengar tetapi belum merasa. Menarik itu fikir saya. Dua kali berpusing, kami mendapat satu ruang meletak kereta di hadapan sebuah kedai perabot.

Ramainya orang! Saya berjalan di celah-celah gerai yang dibina menggunakan khemah dan juga meja yang diletakkan pangkin dan kain pelindung cahaya. Suara riuh kedengaran diselangseli dengan tawar menawar.

Buah-buahan melimpah ruah, durian, manggis, rambutan, duku langsat, sayur-sayuran berlambak-lambak dijual dengan harga yang sangat murah.

Saya berhenti melangkah sebaik ternampak buah kerkup, sejenis buah menyerupai buah Melaka yang menjadi kegemaran saya semasa kecil. Memang susah mendapat buah ini kecuali di pekan nat. Dulu di kampong arwah tok wan saya sebelah ibu, pokok buah ini ada di hadapan rumah.

Setiap hujung minggu dan cuti sekolah kami akan balik ke rumah tok wan untuk mencari buah kerkup dan buah keranda (mungkin ada yang tidak pernah dengar dan lihat). Buah-buah ini memang susah dapat pada masa ini.

"Selepas makan laksa sate kita beli buah ini," kata Ismail seperti faham saya teringin memakannya sambil terus berjalan menghala ke gerai menjual laksa sate.

Memang ramai pelanggan. Tentu sedap seperti kata Ismail. Saya memilih bangku panjang daripada kayu yang agak terbelakang. Pada bahagian itu terdapat peniaga ikan dan makanan basah. Terjerit-jerit mereka mencari pelanggan.

Ismail menempah laksa sate dan minuman. Di depan kami ada sebuah bekas plastik berisi cili padi dan telur rebus.

"Nak sedap lagi tambah cili padi dan telur rebus," Ismail mencadang.

Tidak sampai lima minit laksa sate sampai. Seperti sangkaan saya, laksa yang dicampur dengan kuah sate dan isi sate di atasnya. Memang menyelerakan. Terliur saya dibuatnya! Sayangnya keseronokan saya hendak menikmati laksa sate terbantut sebab saya tidak makan ayam kerana sate yang dihidangkan adalah sate ayam.

Tapi kerana laksa menjadi kegemaran, saya ketepikan ayam dan tambah cili padi dan telur rebus ke dalam laksa…. aduh memang sedap betul.

Di sebelah saya seorang wanita yang saya panggil kak long turut sama menikmati laksa sate. Usianya dalam 60-an. Saya bertanya khabar dan mencungkil rahsia dia datang ke situ.

"Kakak memang tiap hari Khamis mai sini makan laksa sate. Sudah kenyang baru jalan-jalan membeli keperluan dapur.

"Kalau seminggu tak mai macam tak sempurna hidup," katanya bergurau.

Kata kak long bukan setakat makan laksa sate tapi dapat juga beli ikan, sayur dan keperluan dapur lagipun di pekan nat harga barang murah berbanding pasar dan kedai runcit.

Terkilan tidak dapat bercerita lama dengan kak long sebab masa mencemburui kehadiran saya di pekan nat tersebut. Lagipun kami ada misi yang hendak dilaksanakan.

Kagum dan bangga

Selesai makan kami beredar dan kembali ke gerai menjual buah kerkup itu. Murah sahaja harganya, selonggok RM3 boleh dimakan oleh 10 orang, bayangkan banyaknya.

Begitulah bezanya membeli barang di bandar dan di luar bandar. Membezakan keadaan hanya kedudukan seseorang dan wang ringgit. Namun perbezaan itulah yang menjadikan manusia lebih berhati-hati dalam hidup mereka.

Pengalaman makan laksa sate memang menarik. Sebab walaupun berasal dari Kedah, ini kali pertama saya tahu tentangnya. Malu juga rasanya!

Tapi saya pasti ramai lagi orang Kedah yang tidak tahu tentang laksa sate istimewa ini. Cadangan saya, kalau ada masa, jemputlah ke pekan nat Simpang Empat Kangkung untuk makan laksa sate.

Amat seronok sekali perjalanan saya kali ini setelah sekian lama tidak melakukan tugasan luar. Terasa lapang fikiran menyaksikan semua perkara yang pernah saya lakukan semasa mula-mula jadi wartawan dulu.

Perjalanan itu bukan setakat kenangan buat saya tetapi pengajaran yang berguna untuk saya terus menulis. Semuanya menjadikan saya lebih bersyukur dengan apa yang dianugerah Allah SWT sepanjang hidup ini.

Seperti yang saya katakan terdahulu, hidup ini akan menjadi lebih membahagiakan kiranya suasana keliling juga tenang , nyaman dan sedap mata memandang, begitulah yang saya rasakan.

Menutup kata, sepatah kata buat renungan bersama: Jangan sia-siakan waktu bahagia itu untuk sesuatu yang hanya akan menjadikan anda menderita dan sengsara.

Salam

>>> (sumber : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment