APABILA sebuah treler beras terbalik di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Tanjung Malim baru-baru ini dan orang ramai berebut mengaut beras, mereka dikatakan tidak berperikemanusiaan. Nilai kemanusiaan hilang dek ditelan tuntutan kebendaan.
Lebih mendukacitakan lagi apabila pemandu treler yang parah terbiar lebih sejam di atas jalan. Orang ramai yang singgah hanya untuk mengambil beras seolah-olah tidak dipunyai oleh sesiapa. Nilai-nilai asas sebagai manusia sudah mencair dan mengalir, diganti dengan nilai baru yang menjurus kepada kebendaan.
Dalam kehidupan di mana nilai kebendaan menjadi penanda aras, nilai kemanusiaan semakin jauh untuk menjadi pelengkap manusia. Dalam banyak hal, ukurannya manusia tidak lagi kepada peribadi tinggi dan mulia. Tetapi lebih kepada kebendaan yang dimiliki. Tragedi kemalangan itu dengan jelas membuktikan nilai-nilai manusia sudah dirapuhkan oleh kebendaan.
Apabila kemanusiaan semakin tipis, tumpuan kepada kebendaan tidak dianggap janggal, malah seolah-olah diwajarkan. Perkara begini memberi gambaran bahawa manusia kini bergerak tanpa rasa. Perasaan malu semakin tiada apabila tanpa sembunyi sesetengah daripada kita mempamerkan kegelojohan mengejar kebendaan. Di mana hilangnya nilai kemanusiaan yang menjadi ukuran tinggi dan rendahnya martabat manusia?
Sebelum itu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa wang syiling berjumlah RM70,000 terbalik dan wang bertaburan di atas lebuh raya. Keadaannya hampir sama, orang ramai yang lalu lalang berebut mengutip syiling dengan tanpa rasa bersalah atau malu.
Daripada kedua-dua kejadian ini, banyak pihak menganggap perbuatan mengutip syiling dan mengaut beras sebagai sangat memalukan. Memanglah perbuatan itu memalukan dan tidak bermoral. Mengambil hak orang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung, sama ada sedikit atau banyak adalah perbuatan yang tidak bermoral. Ini bertentangan dengan nilai-nilai asas manusia.
Kita boleh saja melabelkan mereka yang mengaut beras atau mengutip syiling itu dengan pelbagai gelaran buruk. Tetapi jangan pula hanya disebabkan mereka itu bukan "siapa-siapa" dan seolah-olah perbuatan yang sama tidak berlaku pada skala yang lebih besar, dilakukan oleh orang ternama dan kesannya kepada jumlah manusia yang lebih besar.
Perbuatan merompak atau istilah manisnya "mengambil" hak orang bukanlah berlaku di atas lebuh raya saja. Perbuatan gelojoh dan tamak adalah nilai-nilai baru yang seolah-olah diwajarkan dalam menempuh era moden ini.
Kebendaan
Pihak yang mengutuk keras perbuatan sumbang di atas lebuh raya itu sepatutnya melihat perihal yang sama dalam ruang litup yang luas. Dorongan kebendaan hingga membuatkan penyalahgunaan kuasa, tidak amanah menggunakan wang yang diperuntukkan kepada rakyat yang memerlukan banyak berlaku dalam masyarakat kita.
Kita tidak boleh memejamkan mata daripada melihat perbuatan tidak amanah yang lebih besar kesan dan jumlah yang dikaut. Ada yang mencipta kekayaan dalam masa yang singkat. Tetapi mereka tidaklah mengaut beras atau mengutip syiling di atas lebuh raya yang secara langsung mengambil hak orang. Perbuatan tidak amanah ini lebih banyak berlaku secara tidak langsung hingga melibatkan berjuta-juta ringgit sepatutnya untuk rakyat. Tetapi sebahagiannya melencong ke saku orang tertentu apabila berlaku penyelewengan dan ketirisan di tengah jalan.
Adakah kita mahu menafikan ini tidak berlaku dalam masyarakat? Adakah kita mahu menegaskan bahawa setiap sen yang diperuntukkan kepada rakyat sampai kepada penerimanya tanpa tiris di tengah jalan?
Hidup yang berpaksi nilai-nilai kebendaan telah sampai ke peringkat yang sangat membimbangkan. Nilai ini seolah-olah menjadi satu penanda aras kemodenan dan ia mesti diwajarkan. Orang mengaut beras melakukan perbuatan itu tidak mengikut "prosedur" tetapi yang cerdik pandai melakukan perkara yang sama dengan mengikut "prosedur" dan mereka sering terlepas. Tidak amanah tetap tidak amanah. Orang yang mengaut beras tidak amanah, yang mengaut berjuta-juta ringgit secara seleweng dengan mengikut prosedur juga tidak amanah.
Sebenarnya dua kejadian di atas adalah cermin untuk membawa kita melihat sekian banyak perbuatan serupa yang berlaku dalam segenap lapisan masyarakat. Apakah bezanya antara mengaut beras dengan ketirisan wang untuk rakyat?
Apabila nilai berubah, kemanusiaan juga berubah daripada kedudukan tinggi kepada rendah. Perihal mengaut kemewahan peribadi bukanlah cerita aneh. Ini berlaku dalam masyarakat dan semua pihak termasuk rakyat seolah-olah sudah menerima hakikat bahawa perkara ini adalah biasa. Apabila kita menerima nilai-nilai buruk begini sebagai biasa, kisah-kisah menggelapkan wang berjuta-juta ringgit tidak lagi memberi kejutan.
Mendapat kekayaan yang luar biasa bukan lagi perkara luar biasa dalam masyarakat kita. Maknanya secara sedar atau tidak, kita sudah menerima sebagai satu nilai dalam masyarakat. Kita sudah tidak mempedulikan yang "luar biasa" kerana ia sudah menjadi perkara biasa. Orang pun sudah tidak mempersoalkan dari mana sumber pendapatannya yang tiba-tiba menjadi kaya yang luar biasa. Kita dan masyarakat sebenarnya yang menjadi pemangkin nilai kebendaan berkembang dan memusnahkan nilai-nilai manusia yang asas seperti amanah, telus dan bertanggungjawab.
Jadi, apalah sangat mengutip syiling dan mengaut beras di atas lebuh raya kalau dibanding sikap tidak amanah "mengaut" wang berjuta-juta bukan miliknya? Adakah kita masih bertegas bahawa mengaut beras dan mengutip syiling itu sahaja yang tidak berperikemanusiaan?
No comments:
Post a Comment