Krisis di Mesir lonjakkan minyak ke paras AS$100
SINGAPURA 1 Feb. - Harga minyak mentah dunia melonjak ke paras AS$100 (RM305) setong, tertinggi sejak 2008 dalam sesi dagangan hari ini berikutan berlakunya rusuhan yang teruk di Mesir.
Rusuhan yang bertujuan menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak semakin memuncak dijangka mampu mengganggu laluan perdagangan minyak di Terusan Suez.
Mesir bukan pengeluar minyak utama dunia tetapi Terusan Suez yang berada di negara itu merupakan laluan penting perdagangan minyak dengan merekodkan laluan lebih 2.4 juta tong sehari.
Jumlah itu menyamai keluaran kasar minyak harian bagi Iraq dan Brazil.
Kontrak utama New York, harga minyak mentah bermutu tinggi bagi penghantaran bulan Mac mengalami kejatuhan sebanyak 20 peratus kepada AS$91.99 (RM281) setong pada sesi dagangan tengah hari.
Minyak mentah Brent North Sea pula jatuh AS$0.50 (RM1.50) kepada AS$100.51 (RM307.5) setong selepas mencapai paras 101.73 (RM311), iaitu tertinggi sejak Oktober 2008.
Kejatuhan harga pada awal sesi dagangan di Asia disebabkan berlakunya pengambilan untung oleh pedagang, kata penganalisis pelaburan Phillip Futures, Ong Yi Ling di Singapura hari ini.
''Salah satu faktor pengambilan untung berlaku adalah kerana harga minyak telah mencapai paras tertinggi sejak 27 bulan lalu,'' katanya sambil menambah kejatuhan ini mungkin berlaku hanya untuk sementara, sekiranya krisis di Mesir berlarutan.
''Berbeza dengan situasi (minyak mentah) Brent, jika tekanan ini berlarutan ia akan menyokong kepada peningkatan harga minyak,'' kata beliau.
Peningkatan pasaran minyak mentah tersebut akhirnya akan mengundang impak negatif kepada pemulihan ekonomi," Ong berkata.
Keadaan Mesir semakin teruk berikutan perarakan rakyat untuk mendesak perletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak yang telah berlanjutan lebih seminggu
Para penganalisis dari Barclays Capital berkata, kebimbangan di Mesir akan merancakkan kenaikan harga minyak dunia.
''Kami fikir kebarangkalian penutupan Terusan Suez sangat mustahil pada masa ini,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment