Wednesday, March 9, 2011

Kematian Ayah.......menggalas harapan keluarga

Ayah meninggal pada tahun 1977, ketika aku berusia 11 tahun (Darjah 5). Mayat beliau dikebumikan tanah perkuburan Masjid Tandop. Setelah ketiadaan ayah, hidup kami sekeluarga berubah. Emak menggalas tanggungjawab sebagai ibu serta bapa kepada kami. Emak minta aku dan adik membantu beliau mengerjakan bendang. Semasa itu aku masih kanak-kanak, belum mengerti kepayahan hidup ini. Aku pernah menolong emak menajak batas bendang sehinggakan mendapat pujian daripada Pak Ayob, jiran tuan bendang kami. Selain itu aku juga ambil upah "atur semai", mengkiut kakak aku menyertai geng menanam padi. Sekarang orang dah tak tanam padi, semua main tabur benih saja. Selain itu aku juga ada ambil upah mukoi padi. Selepas jentera padi, diperkenalkan, join pula geng pegang guni. Masa nilah pelajaran aku agak merosot dimana aku seringkali dalam dilema antara fokus kepada pelajaran atau membantu emak. Aku agak mungkin sebab inilah aku mula minat lagu-lagu Blues. Lagu-lagu yang menggambarkan kesusahan seperti Negro yang bekerja sebagai hamba abdi di ladang-ladang kapas di Amerika. Kekadang aku merasa cemburu dan iri hati dengan rakan-rakan kampung yang agak berada sikit. Mereka mampu memiliki motorsikal, sedangkan aku hanya ada basikal saja.

No comments:

Post a Comment