Thursday, September 6, 2012

Faktor dorong kehidupan songsang

Faktor dorong kehidupan songsang

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Fahaman sekularisme dan liberalisme merupakan antara faktor yang menyumbang kepada penularan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Enizahura Abdul Aziz berkata, cara hidup yang permisif dan terbuka mendorong kepada penularan kehidupan yang songsang.
Malah apa yang merunsingkan, katanya, golongan berfahaman sedemikian melabelkan agama sebagai tidak progresif dan kalut kerana tidak menerima serta memperakui cara hidup yang mereka pilih.
‘‘Golongan berfahaman sekularisme memegang prinsip bahawa agama tidak harus mencampuri urusan duniawi manusia serta meletakkan domain agama sebagai sesuatu yang peribadi.
‘‘Perkara tersebut membawa kepada kehidupan yang berasaskan materialisme semata-mata tanpa bersandarkan kepada aspek kerohanian manusia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Memahami Kemunculan Fahaman dan Amalan LGBT: Satu Analisis Ringkas dalam muzakarah pakar bertemakan LGBT: Cabaran dan Penyelesaiannya anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Dr. Azizan Baharuddin serta lebih kurang 70 peserta muzakarah yang terdiri daripada wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli-ahli akademik.
Tambah Enizahura, pemikiran berbentuk liberal pula menjadi asas kepada penerimaan dan amalan gaya hidup bebas mengikut selera masing-masing tanpa dipandu oleh kesedaran terhadap tuntutan sebenar agama.
‘‘LGBT bukanlah satu cara hidup moden yang melambangkan keterbukaan dan penerimaan, sebaliknya ia menunjukkan secara jelas bagaimana tamadun manusia hari ini menongkah arus untuk kembali ke zaman jahiliyyah di mana nafsu diletakkan ke martabat lebih tinggi dari akal dan keimanan kepada tuhan," ujarnya.
Sementara itu, Peneliti di Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Indonesia, Dr. Adian Husaini berkata, kewujudan golongan akademik yang berfikiran liberal lebih-lebih lagi yang mendalami ilmu agama, memburukkan lagi penularan gejala LGBT.
Malah di Indonesia, menurutnya, golongan tersebut telah melakukan penafsiran baru terhadap kita-kitab agama agar LGBT boleh diterima di kalangan masyarakat.

Sekolah asrama lahirkan golongan LGBT?

Sekolah asrama lahirkan golongan LGBT?

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Kementerian Pelajaran diminta memantau sekolah-sekolah berasrama penuh yang dilihat berpotensi melahirkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ini kerana, menurut Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Dr. Azizan Baharuddin, homoseksualiti sementara (transient homosexuality) yang wujud dalam kalangan remaja tidak kira lelaki atau perempuan merupakan fenomena biasa.
Ujarnya, remaja yang bersekolah asrama lebih-lebih lagi yang berasingan jantina lebih terdedah kepada perasaan tersebut kerana secara rutin mereka berhadapan dengan rakan-rakan daripada jantina yang sama.
‘‘Memang terdapat banyak kes homoseksual di sekolah asrama, pelajar senior tertarik dengan pelajar junior yang ‘jambu’. Malah perkara ini juga berlaku di sekolah-sekolah berteraskan agama seperti maahad tahfiz.
‘‘Walaupun ia normal, namun perkara itu jika tidak dipantau boleh menyebabkan orientasi seksual bersifat sementara itu menjadi kekal lebih-lebih lagi kepada remaja yang pernah terlibat secara langsung dengan ‘sentuhan fizikal’," katanya.
Azizan merupakan moderator muzakarah pakar bertemakan LGBT: Cabaran dan Penyelesaiannya anjuran (IKIM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sambil merujuk pembentangan kertas kerja Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj bertajuk Memahami Isu Gender-LGBT: Perspektif Perubatan dan Biologi.
Dalam kertas kerja itu, Harlina Halizah berkata, tarikan sesama jantina dalam kalangan remaja merupakan perkara biasa, namun ia tidak boleh dipandang ringan khususnya oleh ibu bapa dan pihak sekolah kerana dikhuatiri akan meninggalkan kesan emosi yang mendalam selain mengubah orientasi seksual kepada homoseksual kekal.
Menurut Azizan, kes-kes sedemikian kebiasaannya sukar dikesan oleh ibu bapa kerana remaja yang menjadi mangsa lebih-lebih lagi pelajar lelaki yang pernah diliwat, malu untuk memberitahu perkara sebenar.