Misteri Ikan, Burung Mati di Arkansas
Misteri menghantui negeri Arkansas apabila lebih 100,000 ekor ikan ditemui mati di sepanjang 32 kilometer tebing dan di permukaan Sungai Arkansas berhampiran Ozark yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Beebe, di negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.
Ikan-ikan tersebut ditemui oleh seorang pemandu bot tunda pada Khamis lalu, 200 kilometer dari Beebe. Pakar alam sekitar percaya bahawa ikan-ikan itu mati akibat penyakit.
“Hanya satu spesies ikan yang mati dan kami tidak tahu apa puncanya. Jika disebabkan toksik, semua ikan mesti terjejas,” kata seorang pegawai dari Jabatan Kualiti Alam Sekitar, Travis Harmon.
Pegawai-pegawai perikanan mengambil beberapa ekor ikan yang mati berhampiran Roseville untuk diuji.
Jurucakap Suruhanjaya Perikanan dan Sukan Arkansas, Keith Stephens memberitahu, masalah kematian ikan berlaku setiap tahun dan ia sesuatu yang luar biasa.
Seorang pakar, Dr. Andrew Goodwin dari Jabatan Perikanan dan Akuakultur, Universiti Arkansas menyatakan perubahan drastik antara cuaca sejuk dan panas boleh membuatkan ikan terkejut dan membunuh mereka.
“Faktor yang memberi impak kepada ikan itu ialah perubahan suhu yang ketara,” katanya.
Kematian itu berlaku selepas hampir 5,000 ekor burung hitam jatuh dari langit dan mati, 1.6 kilometer dari bandar Beebe pada malam tahun baru.
Insiden pelik yang kelihatan tidak mempunyai hubungan di antara satu sama lain itu nyata membingungkan penduduk Arkansas.
Para saintis menyatakan bunga api mungkin menyebabkan kematian burung itu. Namun, beberapa pegawai yang memeriksa burung itu menyatakan mereka masih belum pasti mengenai punca kematian haiwan tersebut.
Satu lagi teori ialah ribut petir mungkin dikatakan menjadi punca kematian burung-burung itu.
Insiden misteri itu nyata menimbulkan banyak teori dalam kalangan blogger.
Dua rakyat AS, Paul Joseph Watson dan Alex Jones dari laman web PrisonPlanet.com yakin ia disebabkan oleh ujian senjata elektromagnetik rahsia.
Sementara itu, pihak lain mengemukakan teori bahawa kematian burung dan ikan tersebut merupakan petanda hari kiamat berdasarkan ramalan suku kaum Maya di Amerika Selatan dan ahli nujum terkenal, Nostradamus.
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment