Rahsia Api Misteri Terbongkar
Kira-kira 50 senjata tajam dan barangan lama dipercayai berusia lebih 100 tahun ditemui di rumah pusaka sebuah keluarga di Kampung Penambang Bunga Emas di sini sekali gus menjawab kejadian api misteri yang berlaku di rumah itu.
Penemuan pelbagai jenis senjata tajam dan barangan lama itu dibongkar oleh 14 pengamal perubatan Islam daripada Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia (Darus Syifa’) cawangan Kelantan diketuai Zaki Ya yang membuat ‘rawatan’ terhadap rumah milik Zainab Sulaiman, 73.
Senjata dan barangan lama itu dipercayai ditinggalkan oleh arwah ibu dan bapa Zainab, Sulaiman Abdullah dan Halimah Mamat yang meninggal dunia akibat sakit tua 20 tahun lalu.
Antara barangan yang ditemui di rumah pusaka tersebut adalah keris, parang, pedang, kapak, kukur kelapa yang diukir, seterika, dulang hantaran tembaga, periuk, kacip dan tepak sirih yang dijumpai di dalam almari dan tempat simpanan barangan dapur.
Menurut Zaki yang juga Pengerusi Darus Syifa’ negeri, kejadian pelik yang berlaku terhadap keluarga Zainab ada kaitan dengan gangguan makhluk halus yang didakwa daripada saka milik keluarga wanita itu.
Tambahnya, serangan api misteri yang sering mengganggu Zainab dengan membakar ratusan pakaiannya merupakan isyarat makhluk halus itu kepada waris saka berkenaan supaya kembali memujanya.
“Alat-alat lama itu merupakan stesen atau tempat tinggal makhluk halus tersebut dan jika pewarisnya tidak memujanya menyebabkan ia tidak senang duduk dan selalu mengacau,” katanya ketika ditemui selepas membuat rawatan itu di sini malam tadi.
Rawatan tersebut bermula pukul 7.30 sehingga 10.30 malam dengan dimulakan solat hajat, bacaan surah Yasin, ayat Kursi dan beberapa upacara lain seperti melemparkan garam di sekeliling rumah berkenaan.
Utusan Malaysia pada 30 Disember lalu melaporkan sebuah keluarga di Kampung Penambang Bunga Emas di sini hidup dalam keresahan dan ketakutan selepas diserang api misteri dan disusuli beberapa kejadian aneh sejak 10 bulan lalu.
Malah wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia yang berada di tempat kejadian turut melihat api muncul secara tiba-tiba menyambar sehelai kain batik di atas katil dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah itu.
Sementara itu, Zainab ketika dihubungi hari ini berkata, kejadian pelik dan api misteri itu masih lagi mengganggu walaupun sudah dirawat oleh pengamal Darus Syifa’ malam tadi.
Katanya, kejadian pelik itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi ini selepas nasi yang dimasak telah dimasukkan sos cili dan 15 minit kemudiannya, air minum dalam bekas dicampurkan dengan teh serta gula sebanyak dua kilogram.
Tambahnya, setengah jam kemudian baju tidur miliknya yang baru dibasuh dan tersidai di ampaian sebelah dapur tiba-tiba berada di atas katil dan terbakar.
“Kejadian itu disedari oleh cucu apabila terhidu asap dan saya terus bergegas ke tempat tersebut untuk memadamnya dengan kain basah,” ujarnya.
Menurut Zainab, dia semakin buntu memikirkan tentang kejadian tersebut dan berharap agar ada pihak yang tampil membantunya.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment