Saturday, April 16, 2011

Takutlah Pada Hari Pembalasan Individu

Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab) dan tidak diterima syafaat daripadanya dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan. (Baqarah:48)

Pada hari akhirat setiap orang akan menerima balasan masing-masing secara individu.

Faatir [18] Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.

Setiap individu menanggung dosa masing-masing kecuali mereka yang mengajar orang lain ke arah kejahatan. Maka mereka juga turut memikul dosa tambahan kerana mendapat saham dosa perbuatan jahat yang diajar itu. Dalam hadith disebut, “Siapa yang melakukan pembunuhan secara tidak betul, Qabil menanggung separuh dari dosanya” .

Ibnu Mas’ud berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:“Tiada suatu jiwa yang terbunuh dengan penganiayaan, melainkan putera Adam yang pertama dahulu itu, mendapat bahagian dari penumpahan darah itu, kerana ia yang pertama membuka jalan untuk penumpahan darah.” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Para bapa dan suami bertanggungjawab ke atas anak dan isteri mereka. Mereka juga menanggung dosa anak dan isteri sekiranya tidak diberi didikan dan nasihat.

At-Taghabun [14] Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka

Di Padang Mahsyar setiap individu akan ditanya tentang 4 perkara yang sama seperti yang diceritakan dalam satu hadith:

Dari Abi Barzah al-Aslami r.a., dari Nabi s.a.w, sabdanya: “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?”

Empat perkara itu ialah:

1.Umur – dimana dihabiskan, untuk maksiat atau taat, nabi memuji orang yang “tua dalam Islam” iaitu orang-orang yang Islam sejak dari muda lagi. Kata Nabi lagi, Orang yang paling baik ialah orang yang umurnya panjang dan lidahnya masih basah berzikir mengingati Allah. Dalam satu hadith qudsi, Allah bersama orang yang berzikir selagi bibir mulutnya masih bergerak mengingatinya.

2.Ilmu – Antara ilmu yang wajib dipelajari ialah Fardhu Ain seperti ilmu akidah iaitu ilmu tentang ketuhanan. Selain itu apa-apa ilmu yang dipelajari hendaklah diamalkan walaupun ianya hanya sunat, (sekurang-kurangnya sekali seumur sehidup-bagi perkara sunat)

3. Harta – Setiap sen yang diterima dan dibelanjakan akan ditanya tentang halal haramnya.

4. Tubuh Badan – Akan ditanya “dimanakah tuanya badan”, samada tubuh badan diguna untuk perkara baik atau jahat.

No comments:

Post a Comment