KUALA  LUMPUR: Rusuhan ganas di London dan beberapa bandar lain di England  seharusnya membuka mata rakyat Malaysia mengenai betapa buruknya kesan  sesuatu perhimpunan haram, kata beberapa pemerhati sosial.
Mereka  berpendapat rakyat Malaysia yang mudah terpengaruh untuk mengadakan  demonstrasi jalanan, termasuk yang terlibat dalam perhimpunan haram 9  Julai lepas, wajar mengambil pengajaran bahawa tiada pihak yang dapat  memberi jaminan perhimpunan yang bermula aman akan terus berlangsung  dalam aman.
“Apa pun punca rusuhan itu, kita rakyat Malaysia perlu  bertanya kepada diri sendiri sama ada kita mahu tragedi serupa terjadi  di Malaysia? Mahukah kita kehilangan nyawa kaum keluarga dan kemusnahan  harta benda peribadi dan awam?” kata Prof Datuk Hamdan Adnan ketika  diminta mengulas keganasan meluas di England yang berterusan selama tiga  hari sejak 8 Ogos.
Kejadian yang turut melibatkan perbuatan  mencuri dan merompak premis perniagaan dan pembakaran kenderaan,  bangunan, pasar raya malah balai polis oleh ribuan perusuh itu, juga  seharusnya membuka mata rakyat negara ini betapa cekap dan tepatnya  tindakan polis di Malaysia dalam menangani perhimpunan haram 9 Julai  lepas itu, katanya.
Rusuhan itu dikatakan berpunca daripada rasa  tidak hati penduduk terhadap tindakan polis di Tottenham menembak mati  seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah pada 4 Ogos.
Kira-kira  200 anggota keluarga lelaki dikenali Mark Duggan, 29, rakan-rakannya dan  penduduk mengadakan perarakan bantahan yang bermula dengan tenang  tetapi dalam beberapa jam kemudiannya bertukar menjadi rusuhan ganas.
Keganasan  itu merebak ke berbelas bandar lain yang menyaksikan tindakan membakar  harta benda awam, memecah masuk premis perniagaan dan merompak pelbagai  barangan, malah ke tahap mengancam keselamatan dan nyawa pejalan kaki  yang kebetulan lalu di situ.
Selain empat penduduk tempatan yang  mati dan berpuluh yang cedera, seorang pelajar Malaysia di London, Mohd  Asyraf Haziq, 20, turut menjadi mangsa serangan ganas perusuh. Selain  menjalani pembedahan rahang akibat dipukul, basikal dan beberapa barang  lain miliknya telah dilarikan perusuh.
Media antarabangsa melaporkan rusuhan itu adalah yang terburuk di England sejak berkurun.
Hamdan berkata keganasan itu merebak mungkin disebabkan perusuh melihat polis di sana lemah.
“Perusuh  yang ramai itu pula mungkin golongan oportunis yang sudah  berkecenderungan jenayah atau penjenayah yang hanya menunggu kesempatan  seperti itu untuk merompak pasar raya dan merosakkan harta benda,”  katanya.
Pemerhati sosial Zainab Yusof, pula berkata jika polis  tidak bertindak cekap dan tegas menangani perhimpunan haram 9 Julai  lepas, terdapat kemungkinan keganasan serupa berlaku di sini.
“Daripada  visual yang ditayangkan di televisyen, kita dapat lihat ada  kecenderungan kelompok kecil dalam perhimpunan haram itu yang sudah  mencabar polis.
“Kita bersyukur polis bersabar, bertindak tegas  dan bijaksana sehingga perhimpunan haram selesai dalam masa beberapa jam  sahaja dan tidak berhari-hari seperti di England. Kita ambillah  pengajaran dan janganlah nak berdemo haram lagi,” kata Zainab yang juga  aktivis bantuan kemanusiaan.
Media di England melaporkan bahawa  16,000 orang polis sudah dikerahkan bagi mengawal keadaan tetapi langkah  itu dianggap terlambat kerana pelbagai kemusnahan dan ketakutan awam  sudah terjadi.
Tinjauan rambang di sini mendapati ramai rakyat  Malaysia mengakui mereka juga merasa takut dan terancam keselamatan  nyawa dan kemusnahan harta benda ketika perhimpunan haram 9 Julai  berlangsung kerana tahu bahawa keganasan boleh tercetus.
Peniaga  kuih muih di Shah Alam, Hafez Hamed, berkata melihat parahnya kesan  keganasan di London dan sekitarnya, membuat beliau menjadi rakyat  Malaysia yang bersyukur kerana kebijaksanaan kerajaan menangani  perhimpunan haram 9 Julai dengan baik.
“Saya tak tahulah wajar ke  tidak kalau ada rakyat Malaysia yang benci dan marahkan tindakan polis  pada Sabtu 9 Julai itu, yang menahan lebih 1,000 orang semata-mata untuk  memastikan tiada penghasut yang cuba mencetuskan kejadian buruk,”  katanya.
Beliau berkata apa yang terjadi di England itu mungkin  juga satu “balasan” kepada negara Barat yang sebelum ini sering menjadi  juara melaungkan hak kebebasan dan asasi manusia jika demonstrasi  disekat di negara lain termasuk di Malaysia.
“Kini ia dah terjadi  di negara sendiri, tak ada pula kumpulan hak asasi tu bersuara seperti  mana mereka cuba nak mengajar negara lain,” Hafez. — Bernama