Friday, August 12, 2011

Rusuhan di London satu pengajaran kepada rakyat Malaysia


KUALA LUMPUR: Rusuhan ganas di London dan beberapa bandar lain di England seharusnya membuka mata rakyat Malaysia mengenai betapa buruknya kesan sesuatu perhimpunan haram, kata beberapa pemerhati sosial.

Mereka berpendapat rakyat Malaysia yang mudah terpengaruh untuk mengadakan demonstrasi jalanan, termasuk yang terlibat dalam perhimpunan haram 9 Julai lepas, wajar mengambil pengajaran bahawa tiada pihak yang dapat memberi jaminan perhimpunan yang bermula aman akan terus berlangsung dalam aman.

“Apa pun punca rusuhan itu, kita rakyat Malaysia perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada kita mahu tragedi serupa terjadi di Malaysia? Mahukah kita kehilangan nyawa kaum keluarga dan kemusnahan harta benda peribadi dan awam?” kata Prof Datuk Hamdan Adnan ketika diminta mengulas keganasan meluas di England yang berterusan selama tiga hari sejak 8 Ogos.

Kejadian yang turut melibatkan perbuatan mencuri dan merompak premis perniagaan dan pembakaran kenderaan, bangunan, pasar raya malah balai polis oleh ribuan perusuh itu, juga seharusnya membuka mata rakyat negara ini betapa cekap dan tepatnya tindakan polis di Malaysia dalam menangani perhimpunan haram 9 Julai lepas itu, katanya.

Rusuhan itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak hati penduduk terhadap tindakan polis di Tottenham menembak mati seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah pada 4 Ogos.

Kira-kira 200 anggota keluarga lelaki dikenali Mark Duggan, 29, rakan-rakannya dan penduduk mengadakan perarakan bantahan yang bermula dengan tenang tetapi dalam beberapa jam kemudiannya bertukar menjadi rusuhan ganas.

Keganasan itu merebak ke berbelas bandar lain yang menyaksikan tindakan membakar harta benda awam, memecah masuk premis perniagaan dan merompak pelbagai barangan, malah ke tahap mengancam keselamatan dan nyawa pejalan kaki yang kebetulan lalu di situ.

Selain empat penduduk tempatan yang mati dan berpuluh yang cedera, seorang pelajar Malaysia di London, Mohd Asyraf Haziq, 20, turut menjadi mangsa serangan ganas perusuh. Selain menjalani pembedahan rahang akibat dipukul, basikal dan beberapa barang lain miliknya telah dilarikan perusuh.

Media antarabangsa melaporkan rusuhan itu adalah yang terburuk di England sejak berkurun.

Hamdan berkata keganasan itu merebak mungkin disebabkan perusuh melihat polis di sana lemah.

“Perusuh yang ramai itu pula mungkin golongan oportunis yang sudah berkecenderungan jenayah atau penjenayah yang hanya menunggu kesempatan seperti itu untuk merompak pasar raya dan merosakkan harta benda,” katanya.

Pemerhati sosial Zainab Yusof, pula berkata jika polis tidak bertindak cekap dan tegas menangani perhimpunan haram 9 Julai lepas, terdapat kemungkinan keganasan serupa berlaku di sini.

“Daripada visual yang ditayangkan di televisyen, kita dapat lihat ada kecenderungan kelompok kecil dalam perhimpunan haram itu yang sudah mencabar polis.

“Kita bersyukur polis bersabar, bertindak tegas dan bijaksana sehingga perhimpunan haram selesai dalam masa beberapa jam sahaja dan tidak berhari-hari seperti di England. Kita ambillah pengajaran dan janganlah nak berdemo haram lagi,” kata Zainab yang juga aktivis bantuan kemanusiaan.

Media di England melaporkan bahawa 16,000 orang polis sudah dikerahkan bagi mengawal keadaan tetapi langkah itu dianggap terlambat kerana pelbagai kemusnahan dan ketakutan awam sudah terjadi.

Tinjauan rambang di sini mendapati ramai rakyat Malaysia mengakui mereka juga merasa takut dan terancam keselamatan nyawa dan kemusnahan harta benda ketika perhimpunan haram 9 Julai berlangsung kerana tahu bahawa keganasan boleh tercetus.

Peniaga kuih muih di Shah Alam, Hafez Hamed, berkata melihat parahnya kesan keganasan di London dan sekitarnya, membuat beliau menjadi rakyat Malaysia yang bersyukur kerana kebijaksanaan kerajaan menangani perhimpunan haram 9 Julai dengan baik.

“Saya tak tahulah wajar ke tidak kalau ada rakyat Malaysia yang benci dan marahkan tindakan polis pada Sabtu 9 Julai itu, yang menahan lebih 1,000 orang semata-mata untuk memastikan tiada penghasut yang cuba mencetuskan kejadian buruk,” katanya.

Beliau berkata apa yang terjadi di England itu mungkin juga satu “balasan” kepada negara Barat yang sebelum ini sering menjadi juara melaungkan hak kebebasan dan asasi manusia jika demonstrasi disekat di negara lain termasuk di Malaysia.

“Kini ia dah terjadi di negara sendiri, tak ada pula kumpulan hak asasi tu bersuara seperti mana mereka cuba nak mengajar negara lain,” Hafez. — Bernama

No comments:

Post a Comment