Thursday, January 13, 2011

Misteri Lagi

Kebakaran misteri, setelah rumah kereta pula terbakar


Helmi Abdul Khan (kanan) dan Mohd Sidek melihat bahagian cermin belakang kereta Proton Saga miliknya pecah akibat kebakaran misteri di Kampung Ceruk Meranti Serdang, Kulim, Kedah, semalam.


BANDAR BAHARU 12 Jan. - Setelah kebakaran misteri berlaku di rumah yang didudukinya, kini Mohd. Sidek Hamid mengalami pula kebakaran ke atas keretanya.

Kebakaran misteri ke atas keretanya yang berlaku kira-kira 8.15 pagi hari ini turut memusnahkan beberapa helai pakaian sekolah anak perempuannya, Zuraidah, 17, yang disimpan di dalam kereta Proton Saga miliknya itu.

Mohd. Sidek, 51, ketika kejadian sedang menoreh di kebun getah yang dipawahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Kebakaran misteri tersebut mula menghantuinya sejak tiga tahun, mula-mula ke atas rumahnya di Kampung Charok Meranti, Mukim Sungai Batu dekat sini dan walaupun beliau kemudiannya berpindah dengan menyewa rumah lain, kebakaran masih berlaku di rumah sewanya itu.

"Mujurlah seorang jiran menyedari kebakaran kereta saya lalu dia segera ke tempat saya menoreh dan memaklumkan kepada saya. Apabila saya pulang, saya mendapati asap dan api telah membakar bahagian tempat duduk belakang kereta saya.

"Dengan bantuan jiran-jiran, kebakaran dapat dipadamkan," kata Mohd. Sidek yang kini menetap semula di Kampung Charok Meranti.

Beliau berkata berikutan kebakaran itu cermin belakang keretanya pecah manakala kusyen belakang rosak teruk.

"Tak dapatlah saya sekeluarga bergerak kerana kereta dah terbakar. Lagipun belanja membaikinya agak tinggi," katanya.

Beliau hairan mengapa pakaian sekolah anak-anaknya sering menjadi sasaran kebakaran misteri itu.

Pertama kali pakaian sekolah anaknya terbakar semasa mereka terpaksa menyewa di Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar, Serdang pada penghujung bulan lalu, kemudian diikuti dengan kebakaran kali kedua dan ketiga semasa mereka kembali ke rumah asal mereka di Kampung Charok Meranti.

Kebakaran hari ini merupakan kebakaran yang keempat ke atas pakaian sekolah anak Mohd. Sidek.

Beliau mendakwa lebih 100 orang bomoh termasuk yang berasal dari Sabah, Sarawak, Thailand, Indonesia dan Myanmar telah dipanggil untuk memulih keadaan tetapi tidak berjaya.

Beliau merayu kepada pihak yang dapat membantunya agar menghubunginya di talian 013-53233327.

No comments:

Post a Comment