MENDAPAT perhatian kita rakyat Malaysia ketika ini tentang banjir yang melanda negara jiran, Thailand. Dilaporkan ia bencana yang paling buruk di negara itu dalam tempoh 50 tahun. Hampir 400 orang sudah terkorban dan 2.5 juta rakyatnya sedang menderita akibat hujan lebat tanpa henti kira-kira tiga bulan.
Pada minggu ini bencana itu memuncak dengan air melimpahi sungai dan tali air yang merintangi ibu kota Bangkok. Berjuta penduduk di wilayah utara dan tengah yang majoritinya beragama Buddha terpaksa melarikan diri ke tempat selamat, khususnya ke selatan negara itu yang merupakan wilayah orang Islam.
Betapa kemuncak bencana ini berlaku ketika sebilangan besar penduduk Islam di Thai Selatan terkenang kembali peristiwa berdarah Tak Bai di mana 85 orang Islam telah terbunuh apabila tentera menangkap lebih 100 orang penunjuk perasaan dan mencampakkan mereka ke dalam terak dengan tangan terikat di belakang. Sebilangan besar mereka mati lemas akibat terbaring bertindih berlapis-lapis di dalam terak. Sebilangan lagi mati berdarah.
Mereka terbunuh semata-mata kerana membantah penangkapan enam orang penduduk tempatan yang disyaki terlibat dalam gerakan pemisahan Wilayah Thai Selatan. Tragedi buruk itu berlaku tujuh tahun lalu pada 25 Oktober 2004 ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra. Thaksin enggan meminta maaf dan sehingga kini tidak seorang pun anggota tentera didakwa.
Adakah hanya satu kebetulan banjir besar melanda Thailand tujuh tahun kemudian ketika adik perempuan Thaksin, Yinluck Shinawatra pula memegang jawatan Perdana Menteri? Betapa Wilayah Thai Selatan kini bumi yang lebih selamat daripada banjir di negara itu.
Ketika bencana buruk di Thailand masih belum nampak penghujungnya, para petugas bencana alam di Malaysia sedang bersiap sedia menghadapi banjir musim tengkujuh di Pantai Timur dan Utara Semenanjung.
Kali ini diramalkan hujan lebih lebat akan turun di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang.
>>> Sumber: Mingguan Malaysia.
No comments:
Post a Comment