Sunday, October 23, 2011

Servis pelik julang Pestans B



Ahmad Shabery Cheek dan Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkongsi kegembiraan bersama pemain-pemain Pestans B, Pestans bawah 19 tahun dan SSTMI A yang berjaya menjuarai kategori masing-masing pada peringkat akhir Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 di The Curve, Mutiara Damansara, semalam.


PETALING JAYA - Percaturan berani lagi tepat Persatuan Sepak Takraw Anak Negeri Sembilan (Pestans) B mulai set kedua membawa mereka menjuarai kategori Terbuka peringkat akhir Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 dengan menewaskan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) A 2-1 (11-15, 15-13, 15-13) di The Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Mereka membawa masuk tekong kedua, Mohd. Khaizir Said yang menampilkan servis kilas yang unik mirip libasan apit kanan, yang sekali gus mengelirukan lawan.

Kemasukan Khaizir menggantikan Shafie Salleh, selain kemampuan mematahkan servis MBMB, membolehkan Pestans B yang turut dibarisi Kamarulzaman Satar dan Salehudin Ismail mengaut ganjaran termahal pertandingan tempatan, RM10,000 pada edisi kedua ini.

MBMB A yang membariskan Razif Arifin, Saiful Bakthiar Suleiman dan Syafiq Ab. Rahman mensia-siakan kesempatan memenangi set pertama, malah satu ketika mendahului 12-10 di set kedua gara-gara sukar menangani tekanan dan ketahanan mental yang menurun.

Kejayaan Pestans B dalam tempoh 75 minit ini menebus kehampaan rakan sepasukan, Pestans A yang mulanya diletak sebagai pilihan utama kerana memiliki bekas tekong kebangsaan, Normanizam Ahmad tetapi tersingkir di peringkat Kumpulan D.

Perlawanan hebat dan mendebarkan ini turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengarah Urusan KFC Holdings, Jamaluddin Md. Ali; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Sebelum ini naib juara Zon Timur, Julai lalu itu hanya menduduki tempat kedua Kumpulan D Peringkat Antara Zon selepas menewaskan USM P. Pinang A 15-8, 15-6; Pestans A 15-11, 16-14 dan MPT A 11-15, 15-11, 13-15.

Anak buah jurulatih bersama, Zordin Mohd. Nor dan Mahat Adnan ini turut melepasi suku akhir dengan mengatasi PKNS A dan menundukkan UTM B di separuh a khir.

Tempat ketiga milik Majlis Perbandaran Taiping (MPT) A yang menewaskan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) B 2-0 (15-9, 15-8).

Pestans terlepas peluang untuk merangkul gelaran berganda dalam kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT)-Bawah 19 Tahun apabila disekat Pelapis Kelantan A 1-2 (16-17, 15-9, 8-15) dalam tempoh 45 minit.

Dalam kategori Bawah 15 Tahun, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) A terpaksa menunggu sehingga sejam lima minit untuk menjinakkan Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nanas (SSTBN) A 2-1 (15-13, 7-15, 15-13) pada perlawanan akhir yang berlangsung dengan mendebarkan.

No comments:

Post a Comment