Bagi mereka yang tergolong dalam golongan pertama, seandainya mereka berhadapan dengan masalah atau sesuatu isi mahupun kegagalan, perkara yang pertama terlintas dalam benak mereka adalah kelemahan diri mereka. Mereka acapkali menyalahkan diri mereka kerana mempunyai masalah itu, mereka mungkin berkata “nak buat macamana, aku kan tak reti…” mereka juga mungkin mengeluh tentang masalah mereka dengan “orang macam aku ni, apalah boleh buat.” Bagi saya mereka yang tergolong dalam golongan ini cukup lemah dan harus segera kuat jika tidak, mereka akan sering diperkotak-katikkan oleh orang yang lebih kuat dan positif. Golongan ini sering terkena apabila berurusan dengan pelbagai pihak kerana mereka mudah percaya dan mereka sukar untuk menolak. Lantaran itu mereka sering berhadapan dengan masalah yang mereka boleh elakkan.
Bagi golongan kedua pula, mereka melihat segala punca masalah dan kegagalan itu adalah dari luar diri mereka. Mereka ini sering meluahkan rasa tidak puas hati terhadap orang lain, contohnya jika mereka bekerja dan tidak menyerlah dalam kerjaya, mereka akan menyalahkan majikan tanpa mereka menilai sejauh mana mereka berusaha untuk kecemerlangan. Mereka akhirnya sentiasa bermasalah dalam kerjaya kerana apabila bertukar majikan hal yang sama akan berlaku. Mereka ini juga akan sering duduk dalam masalah yang mereka ciptakan. Masalah mereka adalah mereka sendiri mempunyai masalah sikap. Mereka ini tidak suka ditegur kerana mereka merasakan mereka sentiasa berada di pihak yang benar walaupun hakikatnya mereka selalu mengeluh tentang kehidupan.
Golongan ketiga pula adalah golongan yang rajin berusaha namun tidak inovatif. Mereka melakukan usaha yang sama dan berharap lebih kuat usaha yang mereka lakukan maka akan lebih berhasil. Meskipun begitu mereka juga sering berhadapan dengan masalah kerana kepenatan melakukan usaha yang sama tetapi hasilnya tidak seberapa. Saya sering memberi contoh golongan ini dengan golongan yang terdapat dalam sistem perniagaan MLM. Kerjaya mereka benar namun mereka sering melakukan usaha yang sama untuk mencari pelanggan dan ahli dan mungkin juga usaha itu sudah berpuluh tahun dilakukan oleh orang terdahulu. Mereka berpendapat lebih ramai bertemu dengan prospek lebih bagus, hal ini ada benarnya dan ada salahnya. Benar kerana mereka dapat mengasah kefasihan tentang produk serta kewibawaan diri dalam membuat presentasi namun salah kerana tekniknya adalah sama iaitu teknik yang telah lama digunakan maka akhirnya apabila masyarakat mendengar tentang MLM ramai yang lari. Mereka kemudian merasakan yang produk MLM mereka kurang bagus, lalu mereka mencari syarikat lain untuk bertaut namun hal yang sama berlaku. Golongan ini bagus cuma perlu mempelajari pelbagai teknik dan bukan hanya sekadar bersandarkan produk.
Seterusnya golongan terakhir adalah mereka yang melihat masalah itu bukan masalah tetapi masalah itu adalah maklumbalas dan jawapan dari setiap tindakan mereka. Jika mereka tidak dapat apa yang mereka inginkan maka mereka menganggapnya sebagai maklumbalas dari usaha mereka dan besar kemungkinkan cara mereka berusaha itu salah lalu mereka membuat satu analisa baru dan mengubahnya ke satu tatacara baru. Seandainya masih belum berhasil, mereka tidak putus asa lalu melihat cara berhadapan dengan situasi itu dari satu sudut yang lain. Mereka inilah orang yang berjaya, thomas edison sendiri berjaya mencipta lampu setelah 9999 kali berhadapan dengan situasi yang melemahkan dan apabila ditanya mengapa sering gagal dalam menyalakan lampu, dia hanya menjawab, dia tidak gagal tetapi inovatif. Hal yang sama berlaku kepada albert einstein, dia menukil bahawa dia bukanlah orang yang bijak tetapi orang yang lama duduk dalam masalah maka dengan itu dia cukup mahir dengan masalah itu.
Mungkin rumusan di atas dapat memberi gambaran di manakan anda berada ketika ini, golongan yang lebih mirip kepada personaliti anda. Apa yang paling penting, bukanlah hanya mengetahui anda berada dalam kelompok mana kerana hanya mengetahui tidak akan mengubah persepsi anda dalam mengharungi hidup dan dalam menyelesaikan masalah anda sekarang. Ramai yang suka untuk mengetahui mereka berada di golongan mana dan apabila sudah mengetahuinya mereka mencari punca mengapa mereka berada dalam golongan tersebut. Saya agak kurang senang dengan pendekatan sedemikian kerana ianya tidak membawa seseorang itu ke mana bahkan bakal menjadikan seseorang itu lebih bersikap negatif terhadap hidupnya. Adalah lebih bagus jika kita memandang ke hadapan kerana Allah swt tidak pernah menyusahkan bahkan menyenangkan. Maka hari ini marilah kita melihat masalah dan kegagalan yang kita lalui dari sudut yang cukup berlainan dan insya Allah kita akan mula melihat keindahan hidup ini biarpun orang melihat kita susah pada zahirnya. Dalam program saya, saya pasti akan memberitahu para peserta saya mengapa kita perlu ada masalah dan tanpa masalah hidup tidak bererti. Orang mungkin mengatakan saya aneh tetapi cuba direnung senario ini. Jika kita bercinta dengan seseorang, adakah memadai dengan bertemu dan berkata “aku cinta pada mu” kemudiannya dijawab oleh pasangannya “aku juga cinta pada mu.”
Jika hubungan itu hanya bertemankan ungkapan cinta, saya yakin dan hampir pasti seronoknya seketika dan ianya adalah membosankan dan akhirnya membawa kerenggangan dan perpisahan. Apabila berpisah, mereka akan memberi alasan tidak sefahaman tetapi mungkin mereka terlepas pandang bahawa apabila hubungan mereka tidak bermasalah mereka tidak mengenal antara satu sama lain. Itulah yang merenggangkan mereka dan itulah punca tidak sefahaman mereka. Seandainya mereka merajuk misalnya pasangan akan datang memujuk, dipujuknya dengan bunga, pasangannya tidak berubah kerana pasangannya tidak suka bunga, lalu dia cuba memujuk dengan makanan… oh rupanya pasangannya suka makanan, apabila nampak makanan hilang merajuknya. Maka sejak itu dia tahu apa makanan kegemaran pasangannya dan apa pula yang tidak disukai pasangannya. Begitulah kita dengan masalah. Allah swt memberi kita masalah sebagai lambang kasih sayang, lambang cinta kerana dengan adanya masalah kita akan lebih mengenal akan diriNya, kita lebih banyak memohon kepadaNya. Kemudian kita akan celik melihat bagaimana sayangnya Allah swt kepada kita dan bagaimana Allah swt menyelesaikan satu-satu isu yang tidak terfikir oleh kita jalan-jalannya. Maka biar digolongan manapun kita berada kita harus tahu itu tanda Allah swt sayang kepada kita terutama pada golongan pertama yang mugkin kita lihat lemah tetapi dengan kelemahan dan kesilapan yang mereka lakukan mereka akan lebih banyak berdoa, bukankah masalah itu telah mendekatkan diri kepada Allah swt. Mungkin ada yang bertanya jika halnya begitu mengapa masalah saya tidak selesai. Jawapannya tetap ada pada diri kita, kita sering menterbalikkan sistem hubungan… hablum minallah wa hablum minannas namun kerana kerakusan kita menukarkannya kepada hablum minannas wa hablum minallah. Justeru itu kita akan merasakan satu hubungan songsang yang pastinya menjerumuskan kepada masalah yang besar. Mulai hari ini, marilah kita melihat kasih sayang Allah swt dalam masalah yang kita hadapi, cuba kira berapa kali kita berdoa dan bagaimana kita berdoa seandainya kita tidak ada masalah.
Kemudian renungkan perasaan kita berdoa ketika kita bermasalah, bukankah banyak perbezaannya, bukankah masalah itu perlu untuk kita lebih merasakan keberadaan Allah swt yang selama ini hanya diucap tidak dirasa. Bukankah benar bahawa adanya masalah kita lebih banyak menyebut nama Allah swt maka benarlah masalah itu hadiah dan tanda kasih sayang Allah swt kepada kita kerana Dia mencintai kita dan mahu mendengar doa kita. Jika kasih sayangNya dapat kita lihat dalam masalah maka masalah adalah ungkapan cinta dan permainan yang mengasyikkan.
No comments:
Post a Comment