| 
 Utusan Malaysia – 24 Oktober 2011   Oleh HAKIMI ISMAILpengarang@utusan.com.my
   PUTRAJAYA 23 Okt. - Lebih enam juta belia di negara ini didakwa  menghadapi krisis kecelaruan identiti disebabkan terpengaruh dengan gaya  hidup Barat.
 Dapatan tersebut diperoleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hasil  tinjauan melalui media alternatif seperti laman sembang sosial Facebook  dan Twitter yang dihoskannya bermula Januari tahun ini.
 Sehingga kini terdapat kira-kira 11.65 juta belia di Malaysia  iaitu 40.28 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini.
 Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, masalah  tersebut kini berada pada tahap yang membimbangkan kerana ia akan  mendorong belia terbabit ke arah pemikiran secara liberal.
 Justeru beliau berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara  itu demi memastikan golongan belia terus berada pada landasan yang betul  untuk menjamin masa depan negara.
 "Jika tidak dibendung di peringkat awal, tidak mustahil perkara yang tidak diingini akan berlaku.
 "Pelbagai program kesedaran melibatkan para belia perlu  diperbanyakkan demi memastikan keterlibatan golongan ini bersama  masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen  Keluarga Melayu Muslim 2011 di sini hari ini.
 Konvensyen tersebut diadakan bagi memberi pendedahan mengenai isu  semasa permasalahan keluarga dan rahsia kejayaan sebuah keluarga. Ia  dimuatkan dengan dua sesi pembentangan kertas kerja selain forum bersama  peserta.
 Penceramah yang terlibat ialah Timbalan Naib Canselor (TNC)  Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dr.  Badrulhisham Abdul Aziz; Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa  Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba; pengasas dan rakan kongsi  utama HIJRAH Wealth Management Sdn. Bhd., Mahadzir Md. Isa dan Presiden  Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
 Menurut Abdullah Zaik, isu kecelaruan identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej atau personaliti.
 "Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan hilang pedoman atau  hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga  sering difahamkan terhadap perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan  norma-norma positif dalam kehidupan," katanya
   | 
No comments:
Post a Comment