TERIMALAH hakikat bahawa ranking masyarakat  kita membuka akaun, melayari dan apa jua istilah laman sosial dalam alam maya  seperti Facebook, Twitter, Myspace, Finder dan sebagainya antara yang tertinggi  di dunia.
Namun isunya apakah yang terjadi dengan teknologi Internet  seperti Facebook?
Bukalah laman web Internet dan klik Facebook nama si  polan bin/binti si polan dengan mudah kita dapat membelek foto manis, foto  tampan, foto samaran atau apa jua kemungkinan yang boleh dieksploitasikan untuk  tatapan awam bagai papan tanda di Bursa Saham! Tidak kira isteri orang, jejaka  perasan, don juan, kasanova, pemimpin politik yang berkarisma dan apa jua jenis  manusia yang mana yang membezakan mereka hanyalah nawaitu masing-masing.  lronisnya ada isu fitnah, gosip dan tohmahan pula yang  dipaparkan!
Justeru berlakulah seperti laporan konflik politik,  pergeseran kaum, pergolakan rumah tangga dek keberanian dan keberahian yang  tidak dapat dikawal.
Dan di sebalik tabir menerusi laman sosial seperti  ini apabila hubungan dilayani kian bertambah intim dalam kes pasangan suami  isteri maka kian parahlah hubungan kekeluargaan.
Si wanita meraih  simpati, si lelaki pendengar/pelayan/pelayar yang empati maka hanya tembok malu  sebagai benteng terakhir sama ada bertahan atau kecundang jua  akhirnya.
Yang mendukacitakan lagi, cuba jengok-jengoklah pejabat  kerajaan, baik di Putrajaya atau di mana jua, staf yang senior mahupun yang  junior khususnya anak-anak muda begitu tekun dan asyik menghadapi papan monitor;  seolah-olah menumpukan tugasan rasmi.
Ketua-ketua jabatan dari peringkat  KSN, KSU, KP, TKSU, TKP dan seterusnya ke bawah akar umbi rajin-rajinlah cuba  jengok dan pantau.
Jangan anggap bahawa anda generasi lama boleh  dikelentong dengan silap mata ICT. Bukanlah mustahil asyik melayani dan chatting  menyebabkan sepatutnya surat rasmi yang disiapkan dalam masa satu jam bertukar  menjadi satu bulan. Bahkan ada yang ditunda tarikh ke belakang hampir  sebulan.
Kepada mereka yang leka gila dengan pembaziran masa cuba hitung  masa yang anda bazirkan dalam sehari seminggu atau sebulan semata-mata untuk  bersembang-sembang kosong. Lihatlah mereka yang maju seperti anak-anak muda  keturunan Cina, mereka terus berniaga dan bekerja gigih secara terus menerus  menghargai masa ketika lapang pada usia muda.
Tanyalah diri kita sendiri;  berapakah buah buku yang kita berjaya habis baca dalam seminggu atau bulan ini?  Sudahkah kita membelai suami/isteri/anak-anak kita dengan bisikan kata-kata  romantis pada hari ini; pagi, petang atau malam ini?
Sudahkah kita  menyiapkan tugasan rasmi di pejabat? Kunci ada di tangan kita maka kitalah yang  sendiri mahu membuka atau mengunci minda kita, terserahlah.
MAHNESSA A. KADIR
Setiausaha Agung Persatuan Pengamal Pendidikan  Malaysia
Kuala Lumpur
 
 
No comments:
Post a Comment