Monday, February 28, 2011

Muzik, suara perjuangan

BANYAK orang melihat muzik tidak lebih daripada produk hiburan yang dijaja oleh artis-artis popular. Di semua negara, muzik menjadi antara penyumbang kepada industri hiburan dan negara ini juga tidak terkecuali.

Kalau melihat jauh melampaui tuntutan budaya popular, kita dapati pengaruh muzik kepada manusia bukan sahaja hiburan. Lihat sahaja bagaimana sebuah kumpulan muzik dari Ireland, Cranbberies di mana muzik mereka melampaui hiburan dalam hubungannya dengan budaya popular yang kita fahami.

Lagu Zombie yang dianggap lagu wajib kumpulan Cranbberies misalnya diilhamkan daripada peristiwa ledakan bom di London pada awal 1990-an yang turut mengorbankan kanak-kanak. Cranbberies, sebuah kumpulan muzik rock tetapi memilih untuk berbicara mengenai ‘kemabukan’ manusia hingga lupa peri pentingnya nyawa manusia lain.

Menurut penganalisis, kekuatan Cranbberies bukan sahaja terletak kepada muzik tetapi kejituan lirik yang menjurus kepada antiketidakadilan. Kumpulan ini pernah menghasilkan lagu War Child yang menyuarakan nyawa kanak-kanak telah menjadi mangsa keangkuhan politik puak-puak tertentu.

Cranbberies sebenarnya mendapat sokongan moral daripada beberapa kumpulan muzik hebat dunia antaranya kumpulan U2 dan The Corrs serta penyanyi Sinead O’ Connors yang kesemuanya dari Ireland.

Pak Gesang yang mencipta lagu keroncong Bengawan Solo pernah berkata, beliau berjuang mencapai kemerdekaan dengan lagu-lagunya. Jangan berasa lucu kalau dikatakan lagu-lagu keroncong antara yang menyumbang kepada kemerdekaan Indonesia, selain daripada buluh runcing yang menjadi kebanggaan Sukarno.

Dari sudut antropologi, keperluan muzik kepada kehidupan manusia sangat tinggi dan muzik menjadi elemen penting dalam kehidupan tradisi bagi semua kaum. Maknanya dalam hubungannya dengan masyarakat Asia, muzik ada kuasa mistiknya apabila acara ritual mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan muzik.

Beberapa fakta di atas menguatkan hujah bahawa memberi hiburan hanya sebahagian daripada peranan muzik yang sangat besar kepada manusia. Tetapi kerana yang kecil itu menonjol dan membangunkan industri hiburan, maka nilai hiburan dianggap menguasai muzik.

Kita tentunya boleh berbangga kerana memiliki karyawan muzik seperti M. Nasir, Zubir Ali, Dr. Zawawi, Sohaimi Mior Hassan dan beberapa lagi yang mempunyai kecenderungan menjadikan muzik sebagai pentas membicarakan perihal sosial.

Mereka berperanan sama seperti penyanyi rock veteran, Bruce Springsteen yang turut bertanggungjawab memperbaiki hubungan Jerman – Amerika menerusi lagu-lagunya terutama dari album Rising. Lagu Born in the USA dianggap sebagai sebuah lagu antiperang yang diilhamkan daripada Perang Vietnam. Sementara lagu My City of Ruins sebagai mengenang tragedi duka serangan pejuang berani mati ke atas New York dan Washington DC pada 11 September 2001. Maka bolehlah ditanya, selain mengimpikan berjaya di Juara Lagu, apakah lagi impian pencipta-pencipta lagu kita?

No comments:

Post a Comment