Friday, February 18, 2011

Ziarah Orang Sakit/Kematian

Sememangnya hidup dalam sebuah kampung dahulu terdiri daripada saudara-mara kita belaka. Jika kita selidiki semuanya mempunyai pertalian antara satu sama lain. Misalnya dihujung kampung terdiri daripada keluarga si polan A, ditengah kampung terdiri daripada keluarga/saudara mara si polan B, begitulah letaknya dihujung kampung satu lagi. Selain daripada itu kekadang terdapat keluarga yang mempunyai saudara mara di kampung jiran, misalnya kampung Tok Seron ataupun Selarong Lalang. Sungguhpun dulu, belum ada perkhidmatan telefon atau telefon bimbit seperti sekarang, jika ada saudara mara yang sakit, meninggal dunia, masuk hospital, bersalin dan sebagainya, berita tersebar begitu, kunjungan daripada adik-beradik ataupun orang-orang kampung tidak pernah kunjung padam. Aku masih ingat juga ketika arwah ayah mengalami sakit teruk dan sedang nazak, ramai orang-orang kampung datang ziarah. Walaupun ayah seorang yang tidak dikenali ramai, namun ikatan kekeluargaan dan hidup bermasyarakat, mereka semua hadir menziarah. Begitulah amalan orang-oarang dulu. Cuma kekadang terfikir juga aku adakah amalan ini masih tebal ataupun telah terhakis sedikit demi sedikit, maklumlah dunia zaman sekarang kita sentiasa sibuk dan "disibukkan".

No comments:

Post a Comment