Zaman sudah berubah..isteri sekarang semakin  berani berlaku curang!”
 Kadar gejala seks bebas kian meningkat dalam  masyarakat hari ini. Lebih menyedihkan ianya bukan sahaja melibatkan remaja  malah lebih ramai di kalangan individu dewasa yang bujang mahupun yang telah  berkahwin! Seperti yang pernah penulis kisahkan tentang kecurangan isteri dan  balasan yang diterima akibat perbuatan menduakan suami, kini sekali lagi penulis  ingin menceritakan azab seksa seorang wanita yang berkahwin tetapi masih  melakukan seks bebas.
 Kisah ini diceritakan kepada penulis oleh Bomoh  Pakar Rawatan Sakit Cinta, En. Idris Zakaria yang kini menetap di Kampung Tasik  Berangan, Pasir Mas, Kelantan. Kini beliau bergiat cergas berikhtiar mengubati  masalah rumah tangga dan masalah cinta tidak kesampaian, mendapat cerita ini  dari kes-kes yang telah diadukan kepadanya. Semoga kita mendapat manfaat dan  pengajaran darinya.
 “Dalam saya merawat seorang pesakit, saya telah  dikhabarkan satu kisah tragis mengenai seorang isteri curang. Jamilah isteri  kepada Husin masih jelita walaupun telah beranak pinak. Beliau pandai bergaya,  bertudung litup, berkulit putih dan memiliki bentuk badan yang menarik. Jamilah  mendapat sumber kewangan dengan cara berniaga kecil-kecilan iaitu dengan menjual  beras seludup dari Thailand bagi membantu suami yang ketika itu hanya seorang  petani di kampung.
 Ketika itu kegiatan penyeludupan beras tidak  dikawal oleh kerajaan seperti sekarang maka ramai para wanita melibatkan diri  dengan berniaga beras seludup dari Thailand. Pendapatan hasil penjualan beras  seludup tidak seberapa hanya boleh menampung hidup seharian sahaja.” Jelas  En.Idris.
 Suami Jamilah Husin berumur 50an ( bukan nama  sebenar ) merestui pekerjaan isterinya itu. Husin juga nampak tidak selincah  isterinya, beliau berjiwa lembut dan menurut apa sahaja kata isterinya tanpa  banyak bantahan. Semakin lama peranan Husin sebagai ketua keluarga semakin pudar  dek ketidaktegasan dirinya terhadap Jamilah yang semakin bebas ke sana ke  mari.
 Husin baik dan jujur orangnya dan tidak banyak  perangai. Jamilah keluar masuk rumah dan melakukan pekerjaan kadang-kadang  pulang lewat malam bahkan pernah juga tidak pulang untuk sehari dua tidak  menjadi masalah pada Husin. Husin percaya akan apa yang Jamilah lakukan demi  mencari wang dan membela nasib keluarganya.
 Ramai wanita sekitar kampung Jamilah melakukan  pekerjaan menjual beras seludup namun ianya hanya sekadar boleh menyara  kehidupan ala kadar sahaja. Berbeza dengan Jamilah yang menampakkan  sedikit mewah dengan gelang dan rantai emas yang banyak pada tubuhnya. Ramai  orang mempertikai akan kelebihan Jamilah menampakkan mewah sebegitu. Maka ada  beberapa orang yang ingin tahu bagaimana dia bekerja, sedangkan ramai juga yang  melakukan pekerjaan sama namun tidak semewah Jamilah.
 Semenjak itu banyak mata yang mengintip setiap  pergerakan Jamilah tanpa disedarinya. Pada mula-mulanya rahsia Jamilah  terbongkar ketika pihak Imigresen Thailand membuat pemeriksaan di sempadan maka  tertangkap beberapa orang yang cuba menyeludup masuk beras dari Thailand  termasuklah Jamilah ditahan sama ketika itu.
 Namun setelah beberapa jam kemudian nampak  Jamilah dilepaskan oleh seorang pegawai kastam Thailand dengan muka yang senyum  dan beras seludupnya juga selamat dibawa balik ke Malaysia. Beberapa orang lain  yang menyeludup masuk beras terpaksa membayar denda dan beras terpaksa dirampas  Sikap tidak puas hati rakan-rakan penyeludup lain mula membuak-buak mengapa  Jamilah terlepas sedangkan mereka menerima nasib sebaliknya. Maka siasatan  dibuat oleh beberapa orang yang tidak puas hati berkenaan. Maka pada suatu hari  mereka mendapat tahu rupa-rupanya Jamilah telah memberikan rasuah dengan Pegawai  Kastam Thailand berkenaan dengan meniduri dirinya.
 Malah rasuah tersebut bukan sekali dua bahkan  telah banyak kali berlaku setiap kali tidak boleh membolosi diri ditahan Kastam  Thailand di sempadan. Tidak lama kemudian dapat lagi berita mengatakan Jamilah  juga membuat perniagaan sampingan ketika berada di Thailand. Rupa-rupanya  Jamilah memperdagangkan tubuhnya sebagai pelacur dengan lelaki Thailand. Maka  tidak mustahil Jamilah mampu membeli emas yang banyak.
 Maka heboh diceritakan akan kisah Jamilah yang  sedemikian rupa, orang ramai tidak hairan dengan kemewahan yang Jamilah miliki  malah dicemuhi dan dipandang jijik terhadapnya oleh orang kampung serta  masyarakat setempat. Tergamak Jamilah melakukan perkara terkutuk sedemikian  semata-mata mencari sedikit kemewahan. Husin telah diberitahu gejala isterinya  itu namun Husin tidak percaya cerita sedemikian dan membuat tidak tahu  sahaja.
 Husin yang sudah lewat 50an mungkin juga tidak  segagah dahulu lagi manakala Jamilah berusia lewat 40an masih bernafsu tidak  mustahil ianya satu perlakuan yang terdesak disamping minat pada wang. Husin  hanya berserah pada Allah, hendak menuduh isterinya curang beliau tidak  mempunyai cukup bukti dan tidak melihat dengan mata kepala sendiri.
 Selang beberapa tahun kemudian Jamilah diserang  sakit kepala lalu demam dan jatuh sakit. Makin hari makin teruk sakit Jamilah.  Selang beberapa minggu kemudian Jamilah mengalami nazak yang teruk. Pada hari  sakaratul maut Jamilah dikatakan menyalak seperti anjing untuk beberapa kali  kurang daripada sepuluh salakan sebelum nyawanya habis. Jamilah habis nyawa  dalam keadaan menyedihkan matanya terbeliak manakala lidahnya terjelir. Ahli  keluarga yang berkumpul turut merasa pelik akan kelakuan Jamilah menyalak  sebelum menghembuskan nafas terakhir dan mati dalam keadaaan yang sebegitu.
 Upacara kematian seperti biasa orang kampung  lakukan bagi menyempurnakan jenazah Jamilah. Setelah dikafankan liang lahad  disukat dan digali tibalah masa untuk dikebumikan. Sebaik sahaja jenazah Jamilah  dimasukkan ke liang lahad tiba-tiba didapati panjang liang lahad itu tidak  mencukupi untuk menyimpan mayatnya. Mayat Jamilah diukur semula dan liang lahad  di panjang sekali lagi namun masih tidak cukup panjang lagi. Diulangi kali  ketiga dipanjangkan lagi liang lahad itu pun begitu juga masih tidak cukup  panjang. Satu kejadian luar biasa telah berlaku mayat Jamilah disimpan begitu  tanpa memanjangkan lagi liang lahadnya.
 Setelah semua keluarga pulang ke rumah tiba masa  untuk Husin membuat sijil kematian Jamilah pada hari itu juga. Bila diminta kad  pengenalan daripada anak perempuannya kata anaknya itu, “Allah, abah sewaktu  mengkafankan mayat ibu saya terletak kad pengenalan atas jenazah mak, bermakna  kad pengenalan itu ada bersama mayat mak dalam kubur” Husin agak terganggu  memarahi anak perempuannya itu namun terpaksa memanggil penggali kubur di situ  agar menggali kembali liang lahad kubur arwah Jamilah yang baru beberapa jam  dikebumikan tadi.
 Maka kubur itu digali semula, alangkah  terkejutnya beberapa orang yang mengikut Husin termasuk diri saya sendiri  melihat mayat Jamilah telah didatangi beberapa ekor ulat seperti lintah namun  bertaring menggigit tubuh mayat Jamilah. Husin mengenepikan beberapa ekor ulat  itu beberapa kali namun ulat yang sama itu kembali ke tempat asal di mana ianya  menggigit tubuh mayat Jamilah tadi. Kejadian itu amat pelik sekali.
 Setelah itu mayat Jamilah terpaksa dipusingkan  agar tangan boleh diseluk ke dalam bungkusan kain kafannya untuk mendapatkan kad  pengenalannya. Dalam mengiringkan mayat Jamilah itu sekali lagi kejutan berlaku.  Terdapat beribu-ribu ekor ulat seperti lintah bertaring itu berada di bawah  mayat Jamilah . Segera kami menimbusnya kembali setelah berjaya mendapatkan kad  pengenalannya itu.
 Saya tidak dapat membayangkan akan apakah rahsia  sebenarnya kejadian yang Allah pertunjukkan sebegitu. Namun saya terasa agak  seram dan insaf bila melihat kejadian aneh sebegitu buat pertama kali dalam  sejarah hidup saya. Di dunia lagi Allah sudah menunjukkan azabnya apatah lagi  diakhirat kelak.
 Saya boleh memberikan gambaran atas kejadian  begitu bahawa kita manusia tidak boleh lari daripada azab pembalasan jika  melakukan salah yang besar atau dosa yang besar. Bagi isteri-isteri tetapkan  iman, jangan berlaku curang pada suami kita nescaya dosanya amatlah besar.
 Dosa berzina sudah cukup besar tidak tertanggung  bagi yang masih bujang, apatah lagi wanita yang bergelar isteri melakukan zina.  Nauzubillah…hanya Allah sahaja yang mengetahui akan azabnya kelak.
 Di dunia lagi sudah Allah tunjukkan maka  sama-sama kita ambil iktibarnya supaya ianya tidak berulang lagi dimasa hadapan  pada diri kita atau keluarga kita, minta disisihkan Allah.
 p/s: Tak tau lah sejauh mana kebenaranya…sekadar  untuk dijadikan tauladan kepada kita semua./B104
 Posted by tok_aji