Sunday, March 13, 2011

Adenovirus

Adenovirus: Dua pelatih wanita dimasukkan ke ICU

13/03/2011 5:56pm

KUALA LUMPUR 13 Mac – Dua pelatih inspektor wanita dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini selepas dipercayai mengalami jangkitan virus ”Adenovirus”, menjadikan jumlah pelatih dan kakitangan Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang dirawat di hospital itu kini 31 orang.

Komandan Pulapol, SAC Zulkifli Mohamed berkata daripada jumlah itu dua pelatih lelaki ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Seramai 15 orang lagi adalah pelatih inspektor lelaki dan 10 pelatih inspektor wanita. Selebihnya tiga pelatih konstabel lelaki dan seorang kakitangan Pulapol,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata jumlah pengasingan berkurangan kepada 583 orang iaitu 234 pelatih inspektor wanita, 251 pelatih inspektor lelaki, 90 pelatih konstabel lelaki dan lapan kakitangan.

Virus itu, yang dikesan pada 4 Mac lepas, menyebabkan seorang pelatih di institut itu Mohd Azizan Azizi, 21, dari Kuala Kangsar, Perak, meninggal dunia di HKL Selasa lepas. - Bernama

1 comment:

  1. Wabak virus Adeno di Pulapol terkawal – Tiong Lai
    17/03/2011 7:51pm

    KUALA LUMPUR 17 Mac – Situasi wabak virus Adeno di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini adalah terkawal dan kes baru yang diterima semakin berkurangan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Beliau berkata, sehingga semalam, jumlah pelatih yang masih diasing di pusat isolasi Pulapol menurun kepada 552 orang berbanding 667 orang semasa kemuncak wabak.

    "Kebanyakan dari pelatih-pelatih ini telah sembuh dan menunggu masa untuk discaj dari isolasi Pulapol dan sehingga semalam juga, seramai 42 orang masih dirawat di hospital.

    "Manakala, kes-kes baru yang dikesan setiap hari telah berkurangan dari 195 orang semasa kemuncak wabak pada 9 Mac lalu kepada 16 orang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata, bagi mengurangkan perebakan wabak, sebarang aktiviti fizikal berat bagi semua pelatih di Pulapol dihentikan semenjak wabak tersebut bermula hingga kini.

    Katanya, kematian seorang Inspektor pelatih, Mohd Redzuan Ishak, 26, awal pagi ini disahkan berpunca dari ”severe community-acquired pneumonia” akibat jangkitan kuman virus Adeno serta kegagalan pelbagai organ. – Bernama

    ReplyDelete