Tuesday, March 8, 2011

Sekolah Tukar Nama


SEKOLAH KEBANGSAAN DATO’ WAN MOHD SAMAN
TANDOP, 05400 ALOR STAR, KEDAH DARUL AMAN



SEKOLAH ini telah mula didirikan dengan nama SEKOLAH MELAYU TANDOP pada tahun 1912 bersamaan Tahun Hijrah 1329 dengan mengunakan hanya sebuah bangunan sementara. Bumbungnya daripada atap nipah. Murid-muridnya seramai kira-kira 60 orang dan jumlah guru-gurunya 3 orang termasuk Guru Besar iaitu Cikgu Mohamad Shariff.

Pada tahun Hijrah 1334 sebuah bangunan tambahan telah didirikan. Bangunan ini masih tertegak sehingga kini. Guru Besar Cikgu Mohamad Shariff telah meninggal dunia pada 29.10.1337 (Hijrah). Selepas itu Cikgu Abdul Rahman bin Ahmad dari Sekolah Melayu Dulang telah menggantikan beliau. Beliau bersara pada 11.12.1957 dan digantikan dengan Cikgu Ramli bin Hj. Abdul Wahab dari Sekolah Melayu Yan lelaki. Kemudian Cikgu Abdul Rahman bin Othman dari Sekolah Melayu Kancut telah menjadi Guru Besar menggantikan Cikgu Ramli.
Pada tahun 1955 sebuah bangunan tambahan yang baru telah didirikan. Luasnya 150’ x 20’, mengandungi 5 bilik darjah sebagai menampung kekurangan bilik darjah kerana kemasukan murid-murid kian bertambah dengan pesatnya.

Dalam pertengahan tahuun 1955, dengan usaha Lembaga Didik, dibantu oleh Pejabat Pelajaran Negeri, sekolah tambahan yang didirikan ketika Cikgu Haji Ramli bin Haji Abdul Wahab menjadi Guru Besar, telah dilengkapkan dengan dinding dan tingkap.Bumbung atap nipahnya telah digantikan dengan zin dan kemudiannya sekolah itu dicat.

Pada 01 Februari 1956, Lembaga Pengurus Sekolah telah memperbaiki Kedai Kuih dengan memasang dawai jarang. Kedai Kuih itu akhirnya dijadikan setor. Pada tahun itu juga, kerajaan telah mendirikan 3 pintu tandas, dan 10 bilik tandas buang air kecil yang diperbuat daripada batu. Menjadikan jumlah tandas kesemuanya 12 pintu.

Pada bulan September 1957 sekolah lama yang telah didirikan dalam tahun Hijrah 1337 telah dibaiki dan dicat semula. Disekeliling sekolah telah dibuat parit untuk jalan air bagi melancarkan perparitan sekolah.

Pada 24 Februari 1965 satu temasya Hari Ibu Bapa dan Sukan Sekolah telah diadakan secara besar-besaran. Ramai ibu bapa dan jemputan-jemputan khas telah hadir menyaksikan temasya tersebut. Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Halim Ibn Almarhum Sultan Badlishah yang menjadi Yang Dipertuan Agong Malaysia ketika itu telah berkenan menyampaikan hadiah.

Pada 1 Oktober 1957 sekolah ini telah dilengkapkan dengan sebuah bangsal untuk simpanan basikal murid-murid. Atapnya zin dan luasnya 30’ x 12’. Dalam masa ini juga gelanggang badminton telah dibuat daripada simen dan dilengkapkan dengan lampu. Gelanggang badminton ini juga digunakan sebagai ‘dewan’ perhimpunan murid-murid. 2 batang tiang bendera daripada besi telah didirikan termasuk sebuah tempat bersyarah.

Pada tahun 1958 sekolah ini telah berjaya menjadi Johan Badminton Sekolah-Sekolah Kumpulan Kota Star 11 dan telah menerima piala hadiah daripada Tuan J F Augustin, Timbalan Ketua Pegawai Pelajaran Negeri Kedah.
Sebuah kolah, pancur air ditandas buang air kecil dan empat buah besen serta pancur air untuk murid-murid telah dibina dalam tahun 1959. Pada tahun yang sama pihak Lembaga Pengurus Sekolah telah berusahamembuat dan menyiapkan pagar keliling sekolah beserta 3 buah pintu pagar daripada besi dan menambak padang bola yang menelan belanja sebanyak RM2000.

Pada tahun 1960 Lembaga Pengurus telah berjaya menyiapkan sebuah kantin yang menelan belanja sebanyak RM2000. Kantin ini lengkap dengan tempat makan. Sebelumnya murid-murid terpaksa makan berdiri. Pada tahun yang sama kerajaan telah membina bilik-bilik di sekolah ‘A’ dan ‘B’ serta dicat. Dahulunya bilik-bilik telah disekat dengan pemidang sahaja.

Pada 26 Januari 1961, sekolah ini tela menerima kunjungan YB Encik Abdul Rahman bin Talib, Menteri Pelajaran. Dalam buku Peringatan Sekolah beliau telah menulis, “Melawat sekolah hari ini bersama-sama dengan Ketua Pegawai Pelajaran Kedah. Sekolah bersih, murid-murid nampaknya bersih”. Lawatan beliau telah diikuti pula oleh Menteri Muda Pelajaran YB Tuan Haji Abdul Hamid Khan. Antara lain beliau telah menulis di dalam buku Peringatan Sekolah, “Saya telah melawat sekolah ini pada petang ini dan saya dapati kawasannya adalah bersih”.

Mulai 29 Januari 1961, kerajaan telah menempatkan 3 orang Guru Agama untuk bertugas di sekolah ini. Sebelumnya pelajaran agama diajar sebelah petang. Tahun ini juga kejayaan cemerlang telah dicapai dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran. Johan Kumpulan Kota Star bahagian lelaki dan perempuan telah dibolot .

Pada tahun 1965 Yang Teramat Mulia Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaya selaku Wakil Rakyat kawasan telah melawat sekolah ini dan beliau telah menyumbangkan derma sebanyak RM2,445 untuk membeli tanah merah dan membaiki pagar padang bola..

Pada 06.06.1965 sekolah ini telah menerima seorang pelawat agung dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu JAY Miller.Dalam Buku Catitan beliau telah menulis “Lawatan saya yang pertama bagi sekolah-sekolah luar bandar dalam Malaya”.

Bagi mengatasi beberapa kekurangan yang dihadapi, pada tahun 1969 kerajaan mendirikan bangunan tambahan untuk 10 bilik darjah lengkap dengan kantin, tmepat basikal, tandas, pejabat Guru Besar dan setor dengan lebih daripada RM100,000.
Pembinaan sekolah tambahan 10 buah bilik untuk menampung kemasukan murid-murid yang makin bertambah telah dimulakan pada tahun 1971 dan siap digunakan pada tahun 1973. Semua murid seramai lebih 900 orang telah dapat bersekolah di sebelah pagi. Sebelumnya, persekolahan di sebelah petang bagi sebahagian murid-murid telah berjalan selama 16 tahun.

Demikian serba ringkas sejarah Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Mohd Saman daripada sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini. Berbagai-bagai kesulitan dan rintangan telah dapat diatasi dan kemudiannya berkembang daripada sebuah sekolah kecil yang mulanya mengandungi murid-murid seramai 60 orang sahaja. Dan kini berdiri megah dengan bilangan murid-murid yang menjangkau 951 orang dengan 53 orang guru dan staff bukan akademik seramai 7 orang.

Lebih daripada 50 tahun sekolah ini terkenal dengan nama Sekolah Melayu Tandop, kemudian Sekolah Umum Tandop, Sekolah Kebangsaan Tandop, Sekolah Rendah Dato’ Wan Mohd Saman dan sekarang menggunakan nama Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Mohd Saman kerana mengenangkan jasa tokoh yang banyak.
Mudah-mudahan dengan menggunakan nama Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Mohd Saman ini, diharapkan masa depan sekolah ini lebih cerah dan dapat melahirkan generasi yang berwawasan dan berdaya maju.

Sumber: http://jqafskdwms.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment