Tarikh : November 12, 2011
 
                              Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammed berulang kali  mengingatkan bangsa Melayu agar terus bersatu. Seperti katanya, menegur  sudah, marah sudah dan menangis pun sudah, namun ternyata apa yang  dihajati dan diharap belum sepenuhnya tercapai. Malah perpecahan dalam  kalangan Melayu dilihat semakin berada pada tahap kritikal.
 
 “Biarpun orang benci saya, orang marah saya, tapi saya perlu katakan itu...” kata Tun.
 
 Bersama Editor Sinar Harian, Lailatun Khalilah Nasir dan jurufoto,  Shahrin Nizam, ikuti pandangan Tun dalam wawancara yang diadakan di  Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
 
 
 Setelah melalui siri pilihan raya yang cemerlang di bawah  pimpinan Tun dahulu, adakah keputusan PRU-12 tiga tahun lalu sudah Tun  jangka?
 
 Tun M: Saya sudah jangka prestasi memang merudum. Itu  jelas kerana saya melihat kebencian orang pada kerajaan waktu itu.  Ditambah pula ramai pemimpin Umno yang menyokong Pas. Saya tahu mereka  menyokong Pas kerana terlalu benci untuk mengundi Umno (BN). Ini  disebabkan kita mempunyai pemimpin tetapi tidak mempedulikan kebajikan  rakyat. Sebab itu beberapa negeri kita jatuh kepada pihak pembangkang  pada masa itu.
 
 
 Adakah faktor tidak tunai janji, tidak jaga kebajikan rakyat  itu masih wujud pada hari ini dan adakah sokongan kepada Umno semakin  baik?
 
 Tun M: Ia masih wujud walaupun sudah banyak  diperbaiki. Kemungkinan untuk menang mungkin boleh dan kemungkinan untuk  kalah juga boleh... keputusannya mungkin 50–50 kalau kita adakan  pilihan raya dalam tempoh terdekat. Kepercayaan orang Melayu belum pulih  sepenuhnya terhadap pemimpin kita (Barisan Nasional).
 
 
 Apa yang paling kritikal yang perlu kita atasi pada waktu ini apabila kita bercakap mengenai Melayu.
 
 Tun M: Paling kritikal dan penting pada waktu ini  ialah perpecahan orang Melayu. Ia mesti diatasi segera. Ini Kerana  Melayu kini sudah mempunyai pelbagai parti politik yang mereka boleh  sokong. Dulu hanya Umno dan Pas, sekarang tidak lagi, Sudah ada KITA dan  sebagainya. Jadi kita orang Melayu sudah berpecah menjadi tiga atau  mungkin lebih. Kita perlu sedar kita tidak lagi majoriti. Sedangkan  untuk memerintah, kita bergantung kepada majoriti. Sekarang siapa yang  menang itu yang kita sokong, jadi kita terpaksa menunggu keputusan  mereka.
 
 Sudah banyak kali saya katakan, orang Melayu kena bersatu. Tapi kita  degil. Sebagai contoh Pas, mereka Melayu tetapi mereka sanggup  bekerjasama dengan DAP. Sedangkan Umno minta kerjasama dulu tapi mereka  tidak mahu, dengan DAP mereka mahu. Ini yang saya kata Melayu tidak mahu  bersatu. Dengan DAP mereka sanggup gugurkan Negara Islam. Pada  pandangan saya mereka ini hanya bekerjasama untuk menang sahaja. Tentang  prinsip perjuangan, mereka tidak peduli. Melayu yang sedar hari ini  perlu kembali bersatu demi survival bangsa.
 
 
 Saya melihat faktor kepimpinan masa kini membuatkan ramai  golongan muda keliru dengan politik semasa. Apa yang harus dilakukan  untuk mengembalikan keyakinan golongan muda?
 
 Tun M: Seharusnya pemimpin pada masa kini perlu  menerangkan pada mereka. Kalau ini dibuat (penerangan dengan jelas)  mereka tidak akan keliru. Sebab itu peranan pemimpin perlu untuk  menerangkan satu persatu kepada orang muda dan juga semua agar mereka  tidak mendengar sebelah pihak sahaja. Jika penjelasan dibuat mereka  terpaksa dengar dua belah pihak. Cuma apa yang dilihat adalah kelemahan  kita untuk menghujahkan dengan baik pendirian kita supaya tidak  dimanipulasi pihak yang satu lagi.
 
 Kita kena bijak dan jangan terlalu mengikut nafsu dan emosi terutamanya  dalam sesuatu perkara. Jangan marah itu... marah ini tidak menentu.  Sebagai pemimpin kita juga tidak boleh mengikut emosi. Kita kena imbang,  kalau baik kita kata baik, yang buruk kita buruk.
 
 
 Melayu masih perlukan tongkat
 
 Tun dilihat selalu membangkitkan hal Melayu, mungkin ada impian  Tun terhadap bangsa ini yang belum tercapai sepanjang Tun menjadi  Perdana Menteri?
 
 Tun M: Memang ada... Saya berusaha bersungguh–sungguh  untuk memajukan orang Melayu setaraf dengan kaum-kaum lain di Malaysia.  Tapi ini satu usaha yang saya tidak dapat saya jayakan. Kalau boleh kita  mahukan 30 peratus kerjasama daripada orang Melayu berada di tangan  orang Melayu tetapi kita tidak dapat, cuma yang ada adalah institusi  kerajaan bagi orang Melayu.. Sehingga kini nilai budaya orang Melayu  tidak secocok dengan kemajuan yang kita capai.
 
 
 Bagaimana dengan slogan Melayu Boleh’yang dikatakan sebagai pencetus semangat Melayu? Ia hanya tinggal slogan?
 
 Tun M: Kita percaya...kita mempunyai kebolehan, kita  boleh...tetapi tidak bermakna bahawa kita boleh mencapai sesuatu. Kita  Boleh bermakna, kita mempunyai kebolehan. Tetapi kadang-kadang kita lupa  dan tahu sejarah kita, tentang latar belakang kita. Kita lupa bahawa  kita adalah puak miskin suatu ketika dahulu dalam bidang ekonomi.  Apabila kita berjaya kita sebenarnya hanya berjaya sedikit. Tapi kita  sudah rasa kita cukup maju, walhal kita masih terkebelakang.
 
 Jadi, Melayu masih perlu diberi tongkat?
 
 Tun M: Ada setengah-tengah Melayu masih perlu diberi  tongkat, Namun ada juga yang sudah boleh lepas pun. Bagaimanapun ada  setengah daripada kalangan Melayu ini mendapat biasiswa dan belajar  sehingga menjadi ahli profesional menganggap bahawa sekarang ini tidak  perlu lagi diberikan tongkat buat Melayu, tapi saya nak katakan bahawa  memang masih ada Melayu yang perlu diberi tongkat untuk terus bersaing.
 
 Peratusan kita yang berjaya pada masa ini tidak perlu saya nafikan,  namun peratusan Melayu yang berjaya di Semenanjung jika hendak  dibandingkan dengan kaum lain, jumlah mereka masih rendah. Pendek kata  tidak mencapai 30 peratus pun.
 
 
 Jika begitu situasinya kini, apa akan jadi dengan Wawasan 2020 yang Tun sendiri gagaskan sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu?
 Hilang begitu saja?
 
 Tun M: Mengenai Wawasan 2020 ini, kalau kita hendak  capai, sebenarnya kita boleh capai dengan mudah. Kalau kita tidak peduli  tentang bahagian orang Melayulah. Kita boleh capai tetapi dengan cara  menukar strategi pendekatan kita untuk mencapai wawasan 2020 tersebut.  Tetapi tak tahulah kalau kerajaan sekarang ini banyak menukarkan, atau  memperkenalkan strategi perubahan yang baru. Namun, bagi saya, apa yang  ada kini ia tidak mencukupi untuk mencapai Wawasan 2020.
 
 
 Menukar strategi yang bagaimana?
 
 Tun M: Kita masih bergantung kepada orang asing, Kalau  banding dengan orang Jepun, Taiwan, Korea, China dengan Malaysia,  pertumbuhan ekonomi atau pembangunan negara mereka berasaskan kepada  rakyat mereka sendiri. Mereka membeli mesin, perkakasan dari luar tetapi  rakyat mereka melaksanakannya, namun kita tidak macam itu. Kita jemput  orang luar datang kadang-kadang dengan teknologi mereka ke negara kita.  Hingga ada kalanya kita sendiri tidak belajar langsung penggunaan  teknologi itu. Jadi selamanya kita masih bergantung pada mereka. Ertinya  penguasaan teknologi itu tiada. Sebab itu orang kita kurang maju.  Sekarang masa sudah sampai yang mana kita sendiri yang patut mempunyai  pengusaha industri yang membeli teknologi tetapi membuat keputusan  sendiri seperti cara Jepun. Seperti nama-nama yang terdapat di Malaysia  contohnya Hyundai, Mitshubishi, semua bergantung kepada teknologi mereka  yang tidak memerlukan mereka datang ke sini. Ini yang kita dan kerajaan  perlu lakukan. Baru wawasan 2020 itu dapat kita capai dengan berjaya.
 
 
 Hal keluarga dan wanita
 
 Adakah Tun merasakan kepimpinan Tun dalam politik dan pentadbiran mampu diwarisi anak-anak?
 
 Tun M: Muhkriz...lah, dia paling menonjol berbanding  dengan anak-anak lain kerana terlibat dengan bidang politik. Saya selalu  berpesan pada anak-anak jika melakukan sesuatu perkara dalam bidang  perniagaan, politik atau apa sahaja seharusnya memberi tumpuan yang  penuh. Sebagai ayah, Mukhriz juga selalu meminta pandangan dari saya,  dan saya akan memantau segala tindakan anak-anak.
 
 
 Sedikit mengenai wanita, apa pandangan Tun apabila ramai wanita  terpedaya dengan pujukan lelaki, dan banyak gejala negatif timbul  darinya.
 
 Tun M: Ibu bapa kini sibuk... jadi masa yang  berkualiti untuk anak-anak tiada, oleh itu didikan agama itu yang  penting, didikan agama bukan mengajar sembahyang sahaja tetapi ciri-ciri  keislaman itu perlu diterap dalam jiwa anak-anak.
 
 
 Sedikit mengenai pencapaian wanita di Malaysia, adakah kejayaan  Yingluck Sinatwatra yang diangkat menjadi Perdana Menteri Thailand  memberi isyarat bahawa wanita Malaysia juga boleh melakukan itu?
 
 Tun M: Di Malaysia, lelaki masih lagi mendominasi.  Dalam Umno umpamanya wanita yang bekerja kuat. Itu sememangnya saya  tahu. Contohnya kita mempunyai pergerakan Puteri, pergerakan Wanita,  jadi kepimpinan wanita di Malaysia sememangnya tidak dapat dinafikan.  Tidak mustahil wanita boleh menjadi pemimpin tertinggi tetapi hakikatnya  sekarang masih didominasi oleh lelaki.
 
 
 Apa prinsip yang Tun pegang ?
 
 Tun M: Prinsip saya, jika nak buat sesuatu, saya tidak  akan beritahu pada sesiapa pun kecuali ia betul-betul memerlukan  pandangan. Ini kerana jika kita sudah berjanji tetapi tiba-tiba kita  tidak dapat tunaikan maka orang akan cakap kita mungkir janji. Jadi saya  tidak buat janji. Jadi kalau apa yang saya nak buat terpaksa  ditangguhkan ataupun bertukar fikiran tidak mahu buat, orang tidak akan  boleh mengatakan kepada saya yang saya mungkir janji. Kerana itu  keputusan bersara dari jawatan Perdana Menteri itu dulu saya tidak  bercerita pada orang lain. Contoh, kalau saya kata tahun depan saya  hendak berhenti tetapi tidak berhenti, nanti orang sudah tidak percaya  pada saya lagi. Sebab itu saya mengambil kesempatan untuk beritahu  kepada semua (di hadapan semua orang secara terbuka) sebab apabila saya  sudah umum begitu, saya sudah tidak boleh undur lagi dah. Dan tiada  siapa pun boleh halang keputusan saya.
 
 
No comments:
Post a Comment