Thursday, November 3, 2011

Henti galakkan perlakuan songsang sebelum parah

03/11/2011 5:35pm

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Pelbagai pihak meminta sebarang galakan dan program yang menjurus kepada perlakuan tidak bermoral dan songsang seperti hubungan sejenis dan yang bertentangan dengan tabii perlu dihentikan serta-merta.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din berkata, usaha mengekang perlu dilaksanakan oleh pihak penguatkuasa sama ada polis, jabatan agama atau agensi-agensi yang terbabit dalam penguatkuasaan undang-undang mengikut peruntukan yang ada.

"Usaha mengadakan program sebegini yang boleh dianggap sebagai tidak bermoral perlu dikekang. Pada peringkat ini ia belum menjadi satu polemik lagi. Kalau dibiarkan ia boleh membawa kepada keruntuhan sosial yang serius,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata tidak dinafikan pada hari ini terdapat penyerapan nilai-nilai sosial yang baru dalam masyarakat yang dinamakan proses sosialisasi.

Katanya, ia terbahagi kepada tiga bentuk iaitu moral yang sedia ada, ”amoral” iaitu di mana masyarakat tidak boleh membuat keputusan sama ada ia baik atau buruk dan ketiga, tidak bermoral atau songsang.

Mohamed Fadzil berkata semua pihak perlu berhati-hati dalam perkara ini dan sebelum ia bertukar menjadi polemik dan perbincangan umum dan seterusnya menjadi pertelingkahan.

"Ia seterusnya akan menjurus kepada konflik nilai dan serak-berai sosial yang jika tidak diberi perhatian serius akan membawa kepada keruntuhan sosial di kalangan masyarakat. Ini menganggu sistem tabii manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 yang cuba dipromosikan oleh 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang bermula 1 hingga 13 Nov, yang mengiktiraf hak seksual di kalangan lesbian, biseksual, gay dan transeksual.

Katanya, perkara ini bukan sahaja bertentangan daripada sudut perlembagaan negara malah ditolak semua agama sama ada Islam, Kristian, Buddha atau Hindu.

Ahli Majlis Tertinggi Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob pula berkata, sesetengah pihak semakin berani mempromosikan aktviti songsang seperti ini berpunca daripada sikap sesetengah NGO yang anti-Islam dan keadaan umat Islam di negara ini yang berpecah-belah.

Katanya, ajaran Islam yang suci dipersendakan dan dijadikan alat untuk mencapai matlamat politik, selain sikap acuh tak acuh dan sambil lewa pihak-pihak berkuasa yang bertanggungjawab yang disifatkan “sudah terantuk baru terngadah”.

Mustapha berkata siaran oleh media elektronik dan cetak yang terlalu banyak memaparkan hiburan yang tidak bermoral juga menyumbang kepada kegiatan seperti itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment