Thursday, November 3, 2011

Seksualiti Merdeka: Nik Aziz mahu tindakan tegas diambil

03/11/2011 5:31pm

KOTA BHARU 3 Nov. – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program Seksualiti Merdeka termasuk Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga sekiranya terlibat sama.

Beliau berkata, penganjuran program tersebut merupakan penghancuran terhadap kehidupan beragama yang kesemuanya mengharamkan amalan homoseksual.

Malah, Nik Abdul Aziz turut yakin kerajaan dengan segala kekuatan dan kuasa yang ada mampu bertindak terhadap penganjuran program itu tanpa menunggu desakan daripada mana-mana pihak.

"Kita sokong Ambiga dalam perkara berkebajikan tetapi bila sesuatu yang bercanggah kita tidak sokong, tidak ada dalam dunia ini kebebasan sepenuhnya, yang ada hanyalah kebebasan bersyarat.

"Jika hak asasi untuk melakukan homoseks dibenarkan, maka adakah akan timbul pula hak asasi untuk mencuri, merompak, membunuh dan pelbagai lagi jenayah yang bersandarkan ke atas hak asasi?

"Justeru, tindakan tegas perlu diambil dan ia perlu dihalang dengan segala kemampuan yang ada," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak Kelantan di sini, hari ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment