|
MELIHAT kelibat Azwan Abdul Karim sedang membelek patung permainan Transformers di Pameran Barangan Mainan Antarabangsa Malaysia (MITF) di Dewan Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur, mungkin banyak inspirasi dan idea sedang bermain dalam minda pereka dan pengubah suai figura robot itu.
Bermula dengan hobi mengumpul koleksi figura robot Transformers sejak kecil, pemuda berusia 33 tahun tersebut tidak pernah jemu dengan minatnya. Dia terus mengembangkan bakat diri yang meminati seni arca dengan melakukan inovasi terhadap figura robot miliknya.
Pensyarah sebuah institut pengajian tinggi swasta itu berkata, minatnya terhadap pengubahsuaian figura Transformers tercetus lantaran aktiviti itu jarang dilakukan oleh orang lain.
"Saya suka customize atau mengubah suai figura robot yang sedikit kaku atau keras kepada sesuatu yang jarang dilakukan oleh orang kebanyakan. Ia mencabar kemampuan minda dan kesabaran saya. Saya puas apabila berjaya menghasilkan hasil seni yang menjadi hak milik sendiri," katanya.
Selain itu, tambahnya, aktiviti itu juga boleh mengembangkan pengetahuan diri sebagai pengarca sekali gus menyediakan kemahiran untuk dikembangkan dalam bidang seni arca kontemporari pada masa depan.
Kebolehan diri Azwan mengubah suai figura robot Transformers sememangnya dikagumi ramai orang dan mendapat perhatian peminat-peminat koleksi figura Transformers antarabangsa.
"Untuk melakukan pengubahsuaian figura Transformers, proses yang diperlukan terbahagi kepada banyak jenis dan kerja seperti mengecat, mencanai, melorek dan memotong.
"Oleh itu, beberapa peralatan diperlukan seperti pelbagai jenis berus, penyembur, tangki penyembur dan mesin gerudi yang kecil.
"Selain itu, pelbagai jenis pisau, pembaris, alatan untuk mengarca, mesin pencanai biasa, kanta pembesar, stensil besi pelbagai bentuk, tukul, gergaji Diamond dan pelbagai lagi," kata Azwan.
Kerumitan proses
Menurutnya, proses pengubahsuaian figura dimulakan dengan memilih watak yang diingini seseorang pengumpul atau peminat terlebih dahulu.
Kemudian, rangka tubuh atau eko-skeleton figura yang dipilih itu dinilai dengan membandingkannya dengan robot-robot yang terdapat di pasaran. Seterusnya, pemilihan model alternatif iaitu model-model kenderaan turut dibuat.
"Bagi tubuh robot, lazimnya beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan pada bahagian tertentu sama ada kaki, tangan, kepala atau badan.
"Jika tiada bahagian robot yang sesuai maka teknik lakaran atas kertas perlu dilakukan iaitu membina sendiri bahagian tersebut daripada bahan-bahan yang terpilih seperti plastik dan kadangkala besi-besi kecil," kata lulusan Sarjana Teknologi dan Seni Halus (Arca) itu.
Setelah mendapat bahagian robot dan kenderaan yang sesuai, barulah proses menggabungkan kedua-dua bahagian robot dan kenderaan dilaksanakan.
Dalam peringkat itu, proses memotong, mencanai, memateri, menyimen dan membina semula akan dijalankan.
"Proses menggabung memerlukan pereka menilai dan mengukur sama ada bahagian itu boleh melakukan transformasi atau tidak.
"Bahagian ini yang paling merumitkan dan ia bertambah rumit jika model untuk kenderaan melebihi satu. Contohnya, robot perubahan berganda atau triple changer seperti figura robot Astrotrain, Blitzwing dan Springer," terang Azwan.
Proses terakhir yang perlu dibuat adalah mengecat. Berbanding proses awal dan pertengahan yang boleh memakan masa antara sebulan hingga bertahun-tahun lamanya (bergantung kepada kerumitan projek), kerja mengecat pula hanya memerlukan masa sehari hingga seminggu untuk menyiapkannya.
"Proses mengecat, sama ada menggunakan teknik semburan atau berus, menggunakan cat berasaskan akrilik atau enamel," ujarnya mengenai proses itu yang menuntut ketelitian tinggi.
|
|
Tidak puas hati
Menurut Azwan yang juga pengasas kelab komuniti pengubah suai figura permainan terkenal dunia, golongan yang meminati hobi itu selalunya terdiri daripada mereka yang pada mulanya adalah pengumpul mainan.
Daripada mengumpul koleksi figura tersebut, mereka mula bergerak kepada minat mengubah suai mainan-mainan kepunyaan mereka kerana tidak puas hati terhadap bentuk dan rupa yang terhasil dari kilang.
Terdapat juga mereka yang berjinak-jinak dengan hobi itu atas pengaruh rakan-rakan sealiran.
"Pencapaian terbaik saya setakat ini adalah apabila mendapat tempat pertama dalam pertandingan Triple Threat Challenge iaitu pertandingan pengubahsuaian figura Transformers yang dianjurkan di Amerika Syarikat (AS)," ujar Azwan.
Dia juga telah dinobat sebagai Transtopia Masterclass Artist daripada sebuah laman web forum Seibertron.com.
Anugerah pilihan sedunia itu mengiktiraf pengubah suai figura yang mencapai tahap tertinggi dalam mengubah suai figura Transformers.
Azwan juga bersyukur kerana hobinya itu kini memberi pendapatan lumayan kepadanya kerana sebuah figura yang rumit disiapkan boleh mencecah nilai RM10,000.
Seorang lagi penggemar aktiviti mengubah suai barangan mainan, Mohd. Reeza Hariezuan Zaaba, 28, memberitahu, kumpulan pengubah suai barangan mainan atau customizer mempunyai persatuan dan kumpulan komuniti tersendiri yang dipanggil Malaysian Customizer (MC).
"Kumpulan yang bergerak secara aktif dan mempunyai hampir 100 orang ahli ini diwujudkan di Facebook kira-kira setahun lalu dan telah menyertai pameran sulungnya di MITF, Mid Valley pada September lepas.
"Ahlinya terdiri daripada pengubah suai barangan mainan seperti Transformers, Starwars, Gundam, diorama, boneka dan kostum," ujarnya.
MC mengumpulkan semua pengubah suai barangan mainan dibawah satu bumbung untuk bertukar idea, berkongsi pengalaman dan tip-tip berguna. Kumpulan itu juga sering mengadakan projek mengubah suai barangan mainan bersama-sama.
MC bercadang untuk mengembangkan sayap dengan membuka laman web mereka sendiri dalam masa terdekat. Mereka berharap kewujudan kumpulan mereka dapat didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Selain itu juga, ia diharap dapat menjadi satu platform kepada anak Malaysia yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang itu di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Fenomena global
Mohd. Reeza memberitahu, sejarah perkembangan pengubah suai barangan mainan di dunia masih tidak jelas. Ia dipercayai bermula semenjak penciptaan prototaip kenderaan filem-filem seperti Starwars dan E.T.
Namun difahamkan, ia mula rancak sekitar tahun 1980-an dan 1990-an apabila pengeluar francais permainan mula mengadaptasi permainan-permainan itu ke dalam siri animasi bersiri dari tahun ke tahun. Semenjak itu, aktiviti tersebut mula menjadi fenomena global.
"Semenjak kewujudan Internet, peminat-peminat pengubah suai barangan mainan mula mendapat rentak apabila semakin ramai dapat berhubung di antara satu sama lain.
"Kewujudannya semakin rancak dengan adanya laman forum dan web berkaitan seperti forum Gundam, Transtopia (kini TFW2005), Seibertron.com, TNI dan pelbagai forum lain," terangnya.
No comments:
Post a Comment