Sunday, November 20, 2011

Tunjuk perasaan semakin buruk


AP
PENUNJUK perasaan bertempur dengan anggota keselamatan Mesir di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Suasana di Mesir kembali tidak stabil apabila penunjuk perasaan meneruskan pertempuran untuk hari kedua dengan membaling batu kepada pihak polis di Dataran Tahrir di sini semalam.

Tunjuk perasaan tersebut diadakan bagi menuntut pihak tentera segera mengumumkan tarikh untuk menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat.

Pasukan keselamatan Mesir menembak gas pemedih mata dan peluru getah ketika menyerbu dataran tersebut untuk merobohkan khemah-khemah penunjuk perasaan, sekali gus mencetuskan pergelutan yang mengakibatkan dua orang terbunuh.

Ratusan lagi cedera dalam serbuan pihak berkuasa yang dibuat beberapa hari sebelum Mesir dijadual mengadakan pilihan raya Parlimen pertama selepas pengunduran Hosni Mubarak Februari lalu.

Ratusan penunjuk perasaan bertindak membaling batu dan membakar kenderaan polis semasa operasi menyuraikan mereka.

"Kami hanya ada satu permintaan. Beberapa pemimpin perlu meletak jawatan dan jawatan tersebut diambil alih oleh orang awam," kata seorang penunjuk perasaan, Ahmed Hani yang merujuk kepada pemerintah tentera Mesir yang merupakan Menteri Pertahanan dalam pentadbiran Mubarak sebelum ini, Hussein Tantawi.

Situasi kelmarin mengingatkan kembali senario kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan di sini semasa kebangkitan 18 hari rakyat Mesir untuk memaksa Mubarak berundur pada Februari lalu.

Keganasan yang tercetus meningkatkan kebimbangan mengenai pilihan raya Parlimen yang bakal diadakan pada 28 November ini yang dijangka dicemari kekacauan.

Rakyat Mesir kini berang berhubung proses reformasi yang lambat dilaksanakan, selain keghairahan tentera mengekalkan kuasa selepas pentadbiran baru dibentuk.

"Kami bosan dengan janji kosong pemerintah. Kami tidak akan meninggalkan tempat ini (Dataran Tahrir)," kata seorang penunjuk perasaan, Sahar Abdel-Mohsen.

"Polis menembak peluru getah, gas pemedih mata serta memukul penunjuk perasaan dengan menggunakan belantan," tambahnya.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Mohammed el-Sherbeni berkata, seorang penunjuk perasaan berusia 23 tahun terbunuh akibat terkena tembakan, manakala 676 yang lain cedera.

Seorang pegawai lain memberitahu, sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan maut di Iskandariah dalam protes yang berlaku di bandar itu. - AP


No comments:

Post a Comment