KUALA LUMPUR 1 Nov. - Kerajaan hari ini didesak supaya menghalang penganjuran konsert Greatest Hits Tour melibatkan penyanyi gay, Elton John di Arena of Stars, Genting Highlands pada 22 November ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, ia penting bagi mengelak penularan masuk budaya gay ke negara ini melalui konsert tersebut.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan kritikan bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang meminta Pemuda Pas tidak meniru Taliban dalam usaha membantah ikon gay dunia itu.
“Saya sokong kerajaan mesti menghalangnya. Pemuda Pas bukan hanya mahu menghalang anak muda Islam daripada pergi ke Genting. Itu kecil la Bro Asri. Pemuda Pas mahu menghalang kerajaan daripada membawa masuk budaya gay terlaknat itu. Ini baru pemuda Pas!,” katanya dalam blog http://nikabduh.wordpress.com/ yang disiarkan hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan pendirian Dewan Pemuda Pas Pahang yang membantah penganjuran konsert tersebut kerana menurut ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim al-Hafiz ia bukan sahaja tidak sesuai dengan budaya negara ini malah boleh disifatkan sebagai program maksiat.
Mohd Asri ketika mengulas desakan Pemuda Pas itu sebelum ini telah meminta sayap Pas itu jangan meniru Taliban sebaliknya mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal.
Sebelum ini, Pemuda Pas mengecam kenyataan pihak yang menyamakan mereka dengan Taliban berhubung desakan menghalang konsert rock Elton John pada 22 November ini atas alasan penyanyi itu adalah gay.
Dalam pada itu Nik Abduh menasihatkan supaya bekas Mufti Perlis itu lebih cermat dalam melemparkan kritikan.
“Mengkritik itu bagus buat orang berilmu. Kritiklah kerana semua orang tahu anda ahli dalam mengkritik. Tetapi bila melabel, khususnya buat kawan, pilihlah label yang tidak menyakitkan. Saya fikir anda menghafal surah al-Hujurat.
“Jangan fikir orang Taliban tak marah bila anda menghina mereka,’’ ujarnya.
Mengulas lanjut Nik Abduh berkata, mengkritik adalah kebebasan dan hak orang berilmu manakala membebel pula adalah senjata orang perempuan.
“Dari kecil ibu saya mendidik saya dengan membebel. Ayah hanya mendehem. Bebel dan dehem membina saya dan kita semua. Jika Asri mahu mengkritik, itu haknya yang disukai ahli ilmu. Tetapi Asri kadang-kadang membebel.
“Geli geman juga saya mahu serius menasihatinya agar elakkan membebel. Jangan diambil senjata perempuan. Tak manis orang lelaki digelar pembebel,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment